Huffaz profesional bukti kejayaan ekosistem baharu pendidikan - Ahmad Zahid

Ahmad Zahid berucap di Program Gegar Jejak Kerjaya MyFuture Jobs Bersama HAWA Malaysia, di Kluang pada Jumaat.
Ahmad Zahid berucap di Program Gegar Jejak Kerjaya MyFuture Jobs Bersama HAWA Malaysia, di Kluang pada Jumaat.
A
A
A

KLUANG - Golongan huffaz yang bekerja dalam bidang profesional menjadi bukti kejayaan terhadap pembaharuan ekosistem pendidikan negara yang kini bukan hanya menumpukan akademik, tetapi juga bidang kemahiran melalui program Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional Negara (TVET).

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, ia juga selari dengan matlamat dalam mewujudkan kesimbangan sama ada dalam sistem pendidikan dan juga pekerjaan.

Menurutnya, kerana itu kerajaan terus memperkasakan usaha termasuk menerapkan program Mini Ulul Albab di 49 Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) di seluruh negara.

"Usaha menjadikan golongan huffaz sebagai ahli profesional caranya ialah melalui TVET. Seramai 17 orang daripada huffaz yang menyambung pengajian di Universiti Kuala Lumpur dalam bidang penerbang awam, telah menjadi jurutera penerbangan.

"Di UNITEN (Universiti Tenaga Nasional), terdapat 300 pelajar yang ambil jurusan akauntan dan teknikal terdiri daripada huffaz.

"Saya mahu ini jadi contoh di 57 MRSM seluruh negara. Kita tak ketepikan bidang akademik atau profesional...itu kita pertahankan. Tapi (dalam masa sama) program menghafal al-Quran juga diterapkan.

"Saya sebutkan di Kluang ini, (membuktikan) kita bukan baru nak merancang. (Tapi) kita telah lakukan. Alhamdulillah dalam masa yang singkat, kita telah melihat kejayaan kepada ekosistem pendidikan yang baharu ini," katanya ketika berucap di Program Gegar Jejak Kerjaya MyFuture Jobs Bersama HAWA Malaysia, di sini pada Jumaat.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid menegaskan, pihaknya tidak berkompromi dalam soal ibadah, dan mahu masyarakat juga menjalani kehidupan yang seimbang.

Artikel Berkaitan:

"Soal ibadah tidak ada kompromi, soal solat tak ada kompromi. Mendirikan solat itu mendirikan agama, meninggalkan sembahyang itu meruntuhkan agama. Ini yang saya pegang.

"Tak perlu saya pakai kopiah dengan lilit serban panjang-panjang. Makin panjang lilitnya, makin berlilit fikiran...saya tak mahu jadi begitu. Saya tak kata siapa-siapa...saya kata, saya tak mahu jadi begitu," katanya.

Bagaimanapun tambah beliau, golongan ulama yang benar-benar berlandaskan al-Quran dan hadis perlu dihormati.

"Bukan ulama politik. Pagi cakap lain, malam cakap lain, esok cakap lain...kita mahu orang Islam yang benar-benar taqwa beriman dan menjalankan hukum-hukum Islam dengan sebenarnya.

"Itu sebabnya kita perlu seimbangkan soal dunia dan akhirat supaya kita jadi manusia yang seimbang," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!