Muhammad Rafique hadir beri keterangan di Bukit Aman

Muhammad Rafique (kiri) dan Badrul Hisham Shaharin atau Che'gu Bard semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Jumaat.
Muhammad Rafique (kiri) dan Badrul Hisham Shaharin atau Che'gu Bard semasa sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Kuala Lumpur pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Ketua Penerangan Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Muhammad Rafique Rashid Ali dipanggil memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, di sini pada Khamis.

Beliau yang juga peguam kepada Sekretariat Selamatkan Malaysia dilihat tiba sekitar jam 10 pagi, sebelum keluar sejam selepas itu.

Muhammad Rafique berkata, dia dipanggil berhubung ucapannya semasa berucap dalam sebuah program di Kluang, Johor pada 21 September lalu.

"Saya telah dirakam percakapan oleh Unit Siasatan Jenayah Terkelas (USJT) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman pada pagi ini.

"Kerjasama sepenuhnya telah diberikan kepada penyiasat," katanya dalam sidang akhbar pada Jumaat.

Dalam rakaman percakapan itu, Muhammad Rafique telah ditemani Ketua Peguam Pejuang, Mior Nor Haidir Suhaimi.

Hadir sama dalam sidang akhbar adalah aktivis politik, Badrul Hisham Shaharin atau lebih dikenali sebagai Che'gu Bard.

Muhammad Rafique berkata, dia dipanggil memberi keterangan berhubung ucapannya mengupas beberapa fakta kes mahkamah yang pernah mensabitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, antara soalan yang ditanyakan oleh pegawai penyiasat USJT adalah tentang motif ucapannya pada hari kejadian.

Kata beliau lagi, pertanyaan lain yang diajukan adalah mengenai sama ada dia menerima bayaran atau sogokan daripada mana-mana pihak yang memintanya berucap sedemikian.

Tambahnya lagi, dia juga ditanya adakah menerima sebarang skrip untuk dibacakan pada ucapan tersebut.

"Saya kata hendak menjawabnya di mahkamah.

"Namun apabila ada soalan bertanyakan hal sogokan atau bayaran, saya katakan dengan jelas perkara itu tidak pernah berlaku.

"Saya tidak pernah menerima bayaran untuk bercakap seperti itu (semasa ucapan) dan saya juga tidak pernah menerima sebarang sogokan," ujarnya.

Tegasnya, apa yang diucapkan semasa ceramah tersebut adalah penerangan dan keterangan kepada rakyat.

Beliau berkata, ucapannya adalah mahu mengajak rakyat untuk berfikir, bukannya mahu menghasut untuk melakukan apa-apa tindakan yang tidak wajar.

"Saya minta rakyat untuk berfikir bahawa anda mempunyai hak sekiranya ada orang itu berkuasa atau berada dalam kuasa, jika dia berkata sesuatu yang tidak benar, rakyat mempunyai hak untuk bersuara.

"Sebagai rakyat Malaysia, kita ada hak untuk bangun dan menyatakan ia adalah salah," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!