'Kes tahun 2022, tapi masih belum selesai' - Jiran

Abdul Halim masih menanggung resah kerana kerja-kerja pengubahsuaian rumah jirannya yang keterlaluan.
Abdul Halim masih menanggung resah kerana kerja-kerja pengubahsuaian rumah jirannya yang keterlaluan.
A
A
A

NILAI - Meskipun sudah dua tahun berlalu, isu pengubahsuaian sebuah rumah di Taman Surian di sini yang pernah menjadi kontroversi disebabkan pembinaannya yang keterlaluan masih belum selesai.

Pemilik rumah terbabit didakwa masih belum merobohkan struktur tambahan berkenaan dan ia menyebabkan keluarga yang tinggal bersebelahan terpaksa menanggung resah yang tidak berkesudahan.

Menurut Abdul Halim Hassan@Talib, 39, dia sudah puas menunggu, malah musykil kenapa terlalu lama masa diambil untuk mengarahkan pemiliknya merobohkan struktur terbabit.

"Saya difahamkan mahkamah dah keluarkan arahan supaya pemilik merobohkan struktur tambahan itu, tapi sehingga kini tiada sebarang tindakan diambil.

"Pihak Majlis Bandaraya Seremban (MBS) pula seperti tidak ada kuasa nak ambil tindakan tegas, malah seperti bagi 'muka' kepada pemilik yang masih melengah-lengahkan tindakan, " katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Laporan Sinar Harian berkenaan isu pengubahsuaian sebuah rumah di Taman Surian.
Laporan Sinar Harian berkenaan isu pengubahsuaian sebuah rumah di Taman Surian.

Menurutnya, dia dan pemilik serta MBS telah mengadakan perjumpaan pada 19 September lalu bagi berbincang lanjut mengenai perkara itu.

Jelasnya, dalam perjumpaan itu telah dimaklumkan mengenai arahan mahkamah sebelum ini dan MBS memberi tempoh kepada pemilik untuk menyelesaikannya.

Artikel Berkaitan:

"Saya dah lama bersabar dan dah buat macam-macam aduan kepada MBS, tapi tak tahulah sejauh mana masalah ini diberi perhatian serius.

"Ini soal keselamatan. Kalau ia tidak memberi kesan kepada kehidupan saya sekeluarga, saya memang tidaklah memperbesarkan isu ini," katanya.

Jelasnya lagi, isu itu juga boleh menimbulkan ketidakharmonian antara kaum jika terus dibiarkan tanpa ada penyelesaian.

"Kes ini saya buat aduan pada 2022, tapi tak selesai lagi. MBS dah bagi tempoh, tengoklah nanti macam mana," katanya.

Tambah Abdul Halim, dia mahu tinggal di situ dalam keadaan tenteram dan mahu perkara tersebut diselesaikan cara baik, namun kecewa kerana terlalu sukar mendapat kerjasama.

"Ada yang suruh saya jual saja rumah itu. Tapi ia tak semudah itu, lagi pun nilai rumah saya dah jatuh disebabkan isu yang berlaku," katanya.

Sementara itu, MBS dalam kenyataannya berkata, pemilik rumah tersebut telah pun didakwa di bawah Peruntukan Seksyen 70(13) Akta Jalan Parit dan Bangunan 1974 yang jika disabitkan bersalah boleh didenda tidak melebihi RM50,000.

Ujarnya, perbincangan dengan semua pihak terlibat telah diadakan pada 19 September lalu bertujuan memaklumkan tindakan yang perlu diambil oleh pemilik berdasarkan keputusan mahkamah sebelum ini.

"Kelewatan tindakan disebabkan pemilik lewat mengemukakan pelan dan pengesahan kestabilan struktur berserta lukisan struktur oleh jurutera yang bertauliah.

"Sehubungan itu, dalam perbincangan diadakan pada 19 September itu, telah bersetuju supaya pemilik melaksanakan tindakan seperti keputusan mahkamah dan dapat disiapkan selewat-lewatnya pada Februari 2025," katanya.

Selain itu, MBS turut menasihatkan orang ramai yang ingin membuat kerja-kerja pengubahsuaian rumah supaya mendapatkan kelulusan pihaknya terlebih dahulu.

Katanya, ia bagi mengelakkan gangguan ketenteraman awam yang boleh mencetuskan sensitiviti warga bandar raya yang berbilang kaum.

"Segala tindakan yang diambil adalah bertujuan bagi menyejahterakan keharmonian warga bandar raya," katanya.

Media pada Jun 2022 melaporkan MBS sudah mengeluarkan tiga notis arahan dan sitaan kepada pemilik bangunan itu yang melakukan pengubahsuaian tanpa kelulusan supaya menghentikan dan merobohkan binaan tambahan berkenaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!