'Ringgit mengukuh bukti pelabur yakin ekonomi, politik negara'
RAWANG - Ringgit kian mengukuh menunjukkan pelabur luar semakin yakin dengan ekonomi dan kestabilan politik dalam negara.
Timbalan Ketua Penerangan Parti Keadilan Rakyat (PKR), Chua Wei Kiat berkata, ramai tidak menyangka ringgit akan mengukuh dengan cepat susulan berlaku penurunan RM4.8 bersamaan AS$1 awal tahun ini namun kini mencapai RM4.12.
Menurutnya, terdapat beberapa indikator menyumbang kepada keyakinan pelabur iaitu kestabilan politik dan risiko bencana rendah.
"Walaupun peringkat bawah belum rasai hasilnya namun pengukuhan ringgit itu menunjukkan ekonomi Malaysia berada di landasan tepat.
"Saya yakin tahun depan rakyat akan rasa perubahan dan perbezaan usaha dilakukan kerajaan sekarang berbanding kerajaan terdahulu," katanya mengulas berkenaan perkembangan ringgit mengukuh berbanding dolar AS.
Beliau terdahulu meninjau projek naik taraf Surau Al-Ikhlas Saujana Rawang pada Jumaat.
Beliau berkata, kerajaan meletakkan sasaran ringgit RM4.2 akhir tahun ini tetapi berjaya mencapai target lebih baik ketika ini.
"Ini menunjukkan perkembangan positif kerana apabila ringgit meningkat bermaksud lebih banyak pelabur yakin dengan ekonomi Malaysia,
"Ahli perniagaan tidak akan mengambil risiko membuat pelaburan di negara bencana atau politik tak stabil," tambahnya.
Justeru beliau berharap, semua pihak menyokong usaha kerajaan dengan tidak membangkitkan sebarang isu yang boleh mengganggu-gugat keyakinan pelabur.
"Pertukaran pemimpin sesebuah negara akan mengubah dasar politik, hala tuju dan ekonomi negara, jadi pelabur akan pilih negara yang stabil.
"Beberapa minggu ni ada isu dibangkitkan membabitkan pertukaran kerajaan, saya tak rasa itu adalah budaya sihat.
"Sepatutnya semua pihak perlu menyokong usaha kerajaan memperkukuh ekonomi agar rakyat dapat merasai manfaatnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!