[VIDEO] Sungai Gemencheh bertukar hitam
TAMPIN - Sungai Gemencheh di sini dikesan tercemar sehingga airnya bertukar warna hitam selain terdapat ikan mati disyaki berpunca daripada sisa buangan kilang berhampiran.
Air sungai berwarna hitam itu dikatakan sering berlaku dalam tempoh tiga bulan kebelakangan ini sehingga menyebabkan kebimbangan dalam kalangan pekebun dan penduduk sekitar.
Pekebun, Muhammad Shahir Arif, 30 berkata, menggunakan air sungai berkenaan untuk tanamannya sejak lima tahun lalu, bagaimanapun bimbang ia akan menjejaskan hasil tanamannya itu.
"Pagi tadi lebih kurang jam 9 pagi kawan-kawan beritahu ikan mati. Kami (penduduk) juga sudah lama tidak menjaring sebab air sungai hitam. Saya berharap sangat keadaan ini tidak berlarutan," katanya ketika ditemui pemberita pada Jumaat.
Penduduk yang mahu dikenali sebagai Mohd 40-an berkata, kecewa apabila sungai berkenaan tercemar kerana ia antara sumber mereka mencari rezeki mendapatkan ikan.
"Kalau musim hujan air ini tidaklah hitam sangat tetapi dalam keadaan cuaca sekarang yang tidak menentu airnya agak kehitaman, justeru kami harap pihak bertanggungjawab dapat menyelesaikan masalah ini secepat mungkin," katanya.
Sebelum itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Gemencheh, Suhaimizan Bizar bersama Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan dan beberapa agensi kerajaan berkaitan ke lokasi yang didakwa.
Menurut Suhaimizan, agensi bertanggungjawab telah mengambil sampel air di lokasi untuk dianalisis sebelum sebarang tindakan diambil.
"Kita dimaklumkan masalah ini sering kali berlaku tetapi hari ada aduan tentang ikan mati, tindakan sewajarnya akan diambil termasuklah terhadap kilang yang didakwa bagi mengelakkan perkara sama berulang.
"Ia berikutan perkara ini melibatkan petani, mereka khuatir ia akan menjejaskan tanaman mereka susulan menggunakan sumber air sungai di sini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!