Tujuh resolusi ekosistem negara bebas rasuah akan dibentang kepada PM - SPRM

Azam Foto fail Bernama
Azam Foto fail Bernama
A
A
A

BANGI - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan membentangkan tujuh resolusi berhubung pembentukan ekosistem negara bebas rasuah ke Mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet Tata kelola Nasional yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk dipertimbangkan.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, resolusi tersebut diperoleh hasil penyelidikan dan cadangan pada persidangan selama dua hari yang disertai penyelidik daripada lima universiti tempatan iaitu Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia.

"Kesemua hasil penyelidikan yang dibentangkan sepanjang persidangan kebangsaan ini amat signifikan bagi penggubal dasar dan undang-undang untuk membangunkan dasar yang komprehensif serta berimpak tinggi.

"Data berhubung risiko dan analisis jurang berhubung kelemahan tata kelola integriti dan rasuah dalam sektor yang dikenal pasti ini sudah pasti membantu pihak berkepentingan dalam mengatur strategi yang lebih berkesan bagi menutup ruang dan peluang berlakunya ketirisan, manipulasi dan rasuah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Persidangan Penyelidikan Governas, Integriti dan Antirasuah Peringkat Kebangsaan kali ketiga di sini pada Jumaat.

Tujuh resolusi itu antaranya memacu penggunaan teknologi maklumat dan komunikasi serta teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk membangunkan sistem pemantauan bersepadu yang lebih jitu bagi memerangi kartel dalam sektor pertanian, memastikan agensi peneraju melaksanakan strategi yang digariskan dalam Strategi Pembanterasan Rasuah Nasional dan memperkasa aplikasi infrastruktur teknologi maklumat bagi meningkatkan ketelusan serta pengawasan dalam sektor peruncitan dan pemborongan.

Selain itu, mencadangkan modul tata kelola insan, integriti dan antirasuah kepada sektor perbankan dan kewangan dalam laluan peningkatan kerjaya, mencadangkan supaya pencapaian CPI dijadikan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) kepada semua agensi kerajaan yang dikenal pasti dan mewajibkan penggunaan perisian AI bagi meningkatkan kecekapan dan tata kelola dalam sektor pembinaan.

Resolusi itu turut mencadangkan tata kelola yang komprehensif dari aspek kecekapan dalam memastikan keterjaminan bekalan sumber air bersih kepada pengguna domestik.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Azam berkata pembentangan pada persidangan berkenaan antara lain merumuskan bahawa landskap baharu era digital menuntut supaya perkembangan teknologi dimanfaatkan sepenuhnya bagi mengurangkan campur tangan tidak wajar serta menutup ruang dan peluang kepada risiko rasuah di pelbagai sektor.

"Selain itu penilaian risiko rasuah secara berkala merupakan antara strategi pengurusan risiko yang baik dalam menangani isu rasuah dan ketirisan,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!