[VIDEO] Terima pengampunan Sultan, keputusan representasi Sanusi batal kes belum diketahui

A
A
A

SHAH ALAM - Walaupun Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor telah mendapat pengampunan daripada Sultan Selangor, namun Jabatan Peguam Negara (AGC) belum memutuskan representasi Menteri Besar Kedah itu, untuk menggugurkan dua tuduhan menghasut.

Semasa pengurusan kes di hadapan Hakim, Datuk Aslam Zainuddin, Timbalan Pendakwa Raya, Abdul Malik Ayob berkata, pendakwaan memohon prosiding ditangguhkan dalam masa sebulan.

“Ini kerana AGC masih mempertimbangkan representasi tersebut,” katanya.

Sementara itu, peguam, Awang Armadajaya Awang Mahmud yang mewakili Muhammad Sanusi, 50, berkata, sebagaimana yang diketahui umum, anak guamnya telah mengutus surat untuk memohon pengampunan daripada Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Menurutnya, Ahli Jawatankuasa Pas Pusat ini telah menerima jawapan berhubung pertuduhan yang merujuk kepada daripada Sultan Selangor.

Sanusi
Sanusi

“Susulan itu, saya mohon pertuduhan yang dikenakan terhadap anak guam, ditarik balik.

“Saya mohon pihak pendakwaan menerima hakikat, bahawa Sultan Selangor telah memberi pengampunan kepada anak guam,” katanya yang menambah, pembelaan tidak bantahan jika pengurusan kes ditetapkan dalam masa sebulan.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, peguam pemerhati, bagi pihak Sultan Selangor, Datuk Seri Salehuddin Saidin mengesahkan terdapat jawapan bertulis berhubung pengampunan itu.

Mendengar perkara terbabit, Aslam berkata, semua pihak perlu menunggu keputusan AGC terlebih dahulu berhubung representasi dan menetapkan 25 Oktober depan untuk sebutan kes.

Untuk rekod, ini merupakan representasi kedua Ketua Pengarah Pilihan Raya Pas terbabit, selepas permohonan pertamanya, ditolak AGC pada Mei lalu.

Pada Khamis, Sultan Selangor berkenan menerima permohonan ampun dan maaf daripada Muhammad Sanusi.

Sultan Sharafuddin dalam warkah perkenan ampun yang dimuat naik menerusi hantaran Facebook Selangor Royal Office memaklumkan bahawa baginda mempertimbangkan dan menerima permohonan ampun dan maaf itu, atas nama ukhuwah sesama Islam serta bangsa Melayu.

Pada 18 Julai 2023, Muhammad Sanusi mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Selayang atas dua pertuduhan berkenaan dan kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 1 Februari lepas untuk dibicarakan.

Mengikut kedua-dua pertuduhan, Muhammad Sanusi didakwa menyebut perkataan menghasut di Simpang 4, Taman Selayang Mutiara-Kampung Bendahara, Gombak dekat sini pada 11 malam, 11 Julai 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 4(1) akta sama yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda RM5,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!