JPB2 bakal tembusi pasaran 14 negara

David bersama anaknya, Teo Jackhu yang juga Ketua bahagian pengedaran filem MIG.
David bersama anaknya, Teo Jackhu yang juga Ketua bahagian pengedaran filem MIG.
A
A
A

FILEM terbitan Metrowealth International Group (MIG), Jangan Pandang Belakang 2: Aku Tahu Asal Usulmu (JPB2) mencatat rekod tersendiri apabila bakal menembusi pawagam di 14 buah negara termasuk Malaysia.

Menurut penerbit David Teo, selepas kecemerlangan Jangan Pandang Belakang (JPB) di enam negara Asia Tenggara, kini beliau ingin mengulangi kejayaan dengan melebarkan sayap filem JPB2 ke seluruh dunia dan seterusnya mengembalikan fenomena filem seram Malaysia.

Dalam masa sama, beliau sendiri tidak menjangka JBP2 mendapat sambutan di luar jangkaan daripada pengedar filem antarabangsa, walaupun filem JPB menemui penonton dan mencetuskan fenomena 17 tahun lalu.

“Ini satu kejutan luar biasa apabila pengedar antarabangsa berminat untuk edar filem kita. Ini bermaksud filem tempatan mula menjelajah negara luar, inilah realiti dan bukan cakap-cakap saja.

“Ada negara yang tidak pernah tayangkan filem Melayu dan mereka lihat terdapat keunikan pada kisah seram yang kita hasilkan,” katanya ketika ditemui pada majlis pengumuman tayangan global JPB2 di ibu pejabat MIG di Petaling Jaya baru-baru ini.

Tambah David, negara yang sudah menyatakan persetujuan setakat ini adalah Singapura, Indonesia, Brunei, Australia, Vietnam, Laos, Filipina, Thailand, Kemboja, Turkiye, New Zealand, Rusia dan Myanmar.

David Teo
David Teo

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, filem Jangan Pandang Belakang hanya menembusi pasaran enam buah negara iaitu Singapura, Indonesia, Brunei, Filipina, Thailand dan Malaysia.

"Mungkin sebelum ini saya tersilap mencari pengedar tetapi kali ini, saya harap kutipan JPB2 akan lebih memberangsangkan.

"Saya harap kita dapat mengutip sekurang-sekurangnya RM30 juta untuk keseluruhan negara. Sebelum ini pun, JPB telah berjaya mencatat kutipan RM7.4 juta," ujarnya lagi.

Filem JPB2 diarahkan oleh Pierre Andre dan menyaksikan gandingan pelakon hebat seperti Emma Maembong, Iedil Dzuhrie Alaudin, Mawar Rashid, Alif Hadi, Khatijah Tan, Ruminah Sidek, Hafidzuddin Fazil, Cat Farish, Kel Narina dan ramai lagi.

Filem ini merupakan kisah kesinambungan saka keluarga Opah yang mencari tuan baharu untuk didampingi, namun ada sesuatu lain yang menghalang dan membawa kepada pelbagai kejadian menyeramkan.

JPB2 bakal menemui penonton di pawagam tempatan pada 21 November depan, manakala tayangan di negara luar rantau Asia dijadual seminggu atau sebulan kemudian.

Dalam perkembangan lain, MIG juga telah menyelesaikan penggambaran dan menunggu tarikh tayangan bagi dua filem lain iaitu Dajal (Satu Malam Dipedajal) dan Citra Apartment yang bakal menemui penonton pada tahun 2025.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!