PGA rampas makanan sejuk beku seludup dari Thailand
RANTAU PANJANG - Seorang pemandu lori tidak sempat menghantar makanan sejuk beku yang dipercayai diseludup dari negara jiran selepas dicekup anggota Batalion 9 Pasukan Gerakan Am (PGA) di hadapan Balai Bomba dan Penyelamat Rantau Panjang di sini pada Khamis.
Dalam serbuan jam 9 malam itu, lori jenis Mitsubishi yang membawa barangan bernilai RM14,000 dipandu dalam keadaan mencurigakan oleh suspek berusia 34 tahun.
Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, aktiviti terbabit dikesan semasa penugasan Op Taring Warisan.
Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan tersebut menemui pelbagai jenis makanan sejuk beku tanpa dokumen sah dipercayai diseludup dari Thailand.
"Suspek dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup barangan berkenaan ke pasaran tempatan.
"Kes disiasat bawah Seksyen 4(1) Akta Makanan 1983. Suspek dan barangan rampasan diserahkan ke pihak Kementerian Kesihatan Malaysia untuk tindakan lanjut," katanya pada Jumaat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!