Larian Keluarga Malaysia 2024 terima 5,000 penyertaan

Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2024 berlangsung pada Ahad bersamaan 29 September 2024.
Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2024 berlangsung pada Ahad bersamaan 29 September 2024.
A
A
A

SHAH ALAM - Larian Keluarga Malaysia (LKM) 2024 anjuran Yayasan Keluarga Malaysia (YKM) yang akan berlangsung pada Ahad bersamaan 29 September berjaya menarik hampir 5,000 penyertaan merentasi pelbagai negara dan peringkat usia.

Pengerusi YKM yang juga Perdana Menteri Kesembilan Malaysia, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, program itu mendapat sambutan luar jangka dari 10 negara antaranya Kenya, Mesir, Amerika Syarikat, United Kingdom, Jepun dan Indonesia.

“Ia merupakan acara larian yang julung kali dianjurkan YKM dan menerima penyertaan amat memberangsangkan. Sebelum ini, YKM menyasarkan sebanyak 3,000 peserta sahaja, bagaimanapun sambutan amat luar biasa.

“Larian Keluarga Malaysia 2024 adalah larian amal untuk mengumpul dana bagi membantu anak-anak yatim dan yatim piatu yang kehilangan ibu, bapa, ibu bapa atau penjaga akibat pandemik Covid-19,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Pada masa sama, Ismail mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang menyokong acara itu khususnya rakan strategik, Yayasan Kebajikan Atlet Malaysia (YAKEB) dan agensi terlibat seperti Majlis Perbandaran Sepang (MPS), Angkatan Pertahanan Awam, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Universiti Multimedia Malaysia (MMU).

Ismail.
Ismail.

Ujarnya, penaja yang terlibat ialah Perusahaan Otomobil Kedua Sdn Bhd (Perodua), Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Shopee Malaysia Sdn Bhd, Affin Bank, Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Hotel Holiday Villa, Koperasi Al-Najah, Hotel IDEAS Kuala Lumpur, Yayasan AEON Malaysia, Kajang Plaza Medical Centre serta Optimax Eye Specialist Centre.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, larian berkenaan terbahagi kepada tiga kategori iaitu lima kilometer (km) untuk fun run, 10 km (perlumbaan) dan 21 km (separuh maraton).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Ismail memberitahu bahawa beliau akan menyertai acara ‘fun run’ bersama bekas Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Seri Dr Adham Baba termasuk lebih 40 anak yatim dan yatim piatu YKM bermula 7.15 pagi.

Tambah Ismail, sebelum acara tersebut bermula beliau akan melepaskan peserta bagi kategori 21 km pada jam 6.30 pagi dan 10 km yang bermula 7 pagi.

Katanya, duta LKM yang juga bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bersama Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Akmal Saleh dan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming akan menyertai kategori 10 km manakala Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman pula kategori 21 km.

"Pengerusi Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB), Tan Sri Acryl Sani Haji Abdullah Sani serta kepemimpinan tertinggi PUNB juga turut menyertai LKM 2024.

"Pada Sabtu iaitu 28 September akan diadakan 'Race Pack Collection' bagi peserta yang mendaftar di Dewan Semarak, Cyberjaya bermula jam 10 pagi sehingga 8 malam.

"Para peserta dinasihatkan untuk datang awal bagi mengelakkan kesesakan dan barisan pengambilan baju yang panjang," ujarnya.

Menurut Ismail, acara cabutan bertuah bernilai lebih RM70,000 menanti peserta yang mendaftar seperti kereta Perodua Axia, pakej percutian, penginapan dan sarapan, televisyen, basikal, peralatan elektrik serta pelbagai hadiah menarik.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, YKM memerlukan dana sekurang-kurangnya RM5 juta setahun untuk memastikan lebih 1,000 anak yatim di bawah kendalian mendapat pendidikan yang sempurna dan kebajikan terbela.

Ujarnya, untuk sebarang maklumat lanjut mengenai YKM boleh didapati menerusi laman web https://yayasankeluargamalaysia.org.my atau hubungi talian 03-22027493.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!