MFP minta Anwar pertimbang cadangan sebelum bentang Belanjawan 2025
SHAH ALAM - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta supaya mempertimbangkan beberapa cadangan dalam merangka Belanjawan 2025 berdasarkan tiga teras utama Ekonomi Madani iaitu Menaikkan Siling, Menaikkan Lantai serta Tatakelola Baik dan Reformasi Sektor Awam.
Cadangan tersebut adalah mempercepatkan pembangunan ekonomi digital dan teknologi hijau; memperkasakan kewangan Islam; mengurus kos sara hidup dan kebajikan rakyat; menyokong perniagaan kecil dan sederhana (PKS); pelaburan dalam pendidikan dan modal insan; pengurusan fiskal yang berhemah dan telus serta reformasi sektor awam.
Persatuan Profesional Kewangan Muslim Malaysia (MFP) berkata, cadangan itu bertujuan memastikan ekonomi negara berkembang secara mampan, kewangan diurus dengan baik, kebajikan rakyat terjamin dan kelestarian alam sekitar terpelihara sekali gus berdaya saing dalam menghadapi cabaran global.
Menurut persatuan tersebut, kerajaan perlu memperkenalkan insentif cukai dan sokongan kewangan kepada syarikat tempatan yang berinovasi dalam teknologi hijau bagi memastikan negara berada di barisan hadapan ekonomi digital.
“Beri sokongan kepada pembangunan produk dan mempromosi Malaysia sebagai hab global kewangan Islam perlu dijadikan tumpuan bukan sahaja bagi memacu pelaburan swasta, malah memperkukuh kedudukan negara.
“Dari segi kos sara hidup, kawalan harga barang keperluan asas dan subsidi bersasar perlu diperluaskan untuk golongan B40 serta M40. Pada masa sama, tingkatkan program literasi kewangan.
“Seterusnya, sokong PKS agar mampu berkembang dan beri peluang pekerjaan kepada rakyat. Tambah peruntukan pendidikan teknikal dan vokasional (TVET) serta teruskan inisiatif seperti 'National Training Week' untuk pembangunan kemahiran,“ katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Belanjawan 2025 yang bertemakan 'Ekonomi Madani, Negara Makmur, Rakyat Sejahtera' akan dibentangkan di Parlimen pada 18 Oktober ini dengan memfokuskan peningkatan taraf hidup rakyat dan memajukan pembangunan negara.
MFP turut berpandangan, Anwar selaku Menteri Kewangan perlu mengekalkan disiplin fiskal yang ketat dengan menumpukan pengurangan defisit dan hutang negara termasuk usaha untuk memperluaskan asas cukai tanpa bebankan golongan berpendapatan rendah.
Tambahnya, reformasi sektor awam yang mengutamakan kecekapan, ketelusan dan akauntabiliti pula amat penting untuk dilaksanakan demi memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.
“Inisiatif ini akan memastikan sistem pentadbiran kerajaan lebih responsif, cekap dan memenuhi aspirasi Ekonomi Madani.
“MFP percaya bahawa dengan penglibatan semua pihak, Malaysia dapat memacu pertumbuhan ekonomi yang mampan, memperkukuh sistem kewangan negara dan memastikan kesejahteraan rakyat terpelihara,“ ujar kenyataan tersebut.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!