Liek Hou inspirasi Muhammad Amin

Muhammad Amin meraih pingat emas pada perlawanan akhir kategori perseorangan lelaki SH6 sempena temasya Para Sukma Sarawak di Dewan Persatuan Badminton Sarawak pada Jumaat.
Muhammad Amin meraih pingat emas pada perlawanan akhir kategori perseorangan lelaki SH6 sempena temasya Para Sukma Sarawak di Dewan Persatuan Badminton Sarawak pada Jumaat.
A
A
A

PEMAIN badminton Pulau Pinang, Muhammad Amin Azmi tidak berdepan masalah mempertahankan emas perseorangan lelaki SH6 (kecacatan fizikal) buat kali kedua berturut-turut pada Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2024 pada Jumaat.

Pemenang gangsa di Sukan Para ASEAN (APG) 2023 di Kemboja itu ternyata bukan tandingan Cheah You Zhou apabila tampil bersahaja dan tenang membenam cabaran rakan senegerinya, 21-7, 21-8 di Dewan Persatuan Badminton Sarawak, di sini.

“Alhamdulillah saya dapat kekalkan konsistensi saya ditambah pula permainan saya yang menjadi sejak hari pertama pertandingan sehinggalah hari ini,” katanya.

Muhammad Amin yang juga pemenang perak Sukan Remaja Para Asia 2021 di Bahrain, berharap dapat meningkatkan tahap permainannya dan mengekalkan prestasi pada sesi latihan bagi mengikut jejak langkah jaguh badminton para negara, Cheah Liek Hou pada masa depan.

Pemain dari Bukit Mertajam itu berkata, beliau amat tertarik dengan komitmen tinggi dipamerkan pemenang emas Paralimpik itu yang sentiasa rajin dan tidak pernah culas menjalani latihan setiap hari.

Justeru, pemain kerdil berketinggian 125 sentimeter berkenaan tekad beraksi lebih garang dan cuba menggapai impian merangkul emas pada APG 2025 di Thailand.

Ditanya bagaimana terjebak dalam sukan badminton, pemain berusia 21 tahun itu memberitahu mula bermain badminton sejak usia 11 tahun bersama sepupunya.

“Mula-mula main di depan rumah sahaja bersama sepupu, lama-lama makin minat dan dapat capai sehingga ke tahap ini,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, pemain Sabah, Charlie Fred Sagunting merangkul gangsa perseorangan lelaki SH6 dengan mengatasi tentangan sengit Lee Yee Hao dari Pahang, 21-17, 19-21, 22-20.

Temasya dwitahunan yang dibuka secara rasmi sejak Ahad lalu akan melabuhkan tirainya di Stadium Perpaduan, pada Sabtu. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!