Kerajaan pastikan siasatan terhadap GISBH telus - PM
KUALA LUMPUR - Kerajaan akan terus memastikan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengendalikan siasatan terkait kegiatan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dengan telus, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ini termasuk memastikan 542 orang kanak-kanak bawah 18 tahun ditempatkan di penempatan perlindungan sementara diberikan akses kebajikan, kaunseling, kerohanian dan pendidikan bagi suatu tempoh sehingga selesai siasatan oleh pihak PDRM, Jabatan Agama Islam serta Majlis Agama Negeri dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM),” katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Anwar turut memohon ahli dan para pendukung GISBH di dalam dan luar negara yang bukan di bawah siasatan untuk menghubungi pihak berkuasa.
"Ia bagi meluruskan segala permasalahan yang dihadapi,” katanya.
Polis mengadakan serbuan Op Global pada 11 September terhadap 20 rumah amal di Selangor dan Negeri Sembilan yang dikaitkan dengan GISBH kerana didakwa terlibat dalam kegiatan eksploitasi kanak-kanak serta agama.
Serbuan itu mendedahkan kes pengabaian dan penganiayaan yang membawa kepada penahanan beberapa individu dikaitkan dengan GISBH. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!