GISBH: Sultan Selangor sekali lagi zahir dukacita terhadap kes dera kanak-kanak
SHAH ALAM - Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah sekali lagi menzahirkan rasa dukacita terhadap penderaan dan pengabaian kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).
Menerusi hantaran di laman Facebook Royal Selangor Office pada Jumaat, baginda turut mempersoalkan perlakuan tersebut yang menggambarkan seolah-olah pihak GISBH tidak memahami bahawa kanak-kanak mempunyai hak yang perlu dihormati dan disantuni.
Titah baginda, kanak-kanak mempunyai hak untuk hidup dan tinggal dalam suasana aman dan selamat serta jauh daripada perlakuan jenayah yang jijik seperti pencabulan, liwat, penderaan, kahwin dan cerai secara paksa, buruh paksa, pemisahan anak-anak dari ibu bapa, malah dipaksa mengaku sebagai anak yatim.
"Penderaan dan pengabaian terhadap kanak-kanak yang disyaki terjadi amat mendukacitakan. Kenapa pihak GISBH melakukannya?
"Sekiranya benar siasatan menjurus kepada kesalahan-kesalahan jenayah seperti yang dinyatakan tadi, tindakan pihak GISBH ini amat tidak wajar. Mereka bukan sahaja tidak memelihara kanak-kanak dengan baik, malah melakukan kezaliman seperti menyekat hak pendidikan kanak-kanak tersebut untuk mendapat pendidikan arus perdana," titah baginda.
Dalam hal tersebut, Sultan Sharafuddin bertitah bahawa baginda sependapat dengan inti pati khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk 'Kenapa GISBH Buat Begini Kepada Kanak-Kanak', yang disampaikan di masjid-masjid seluruh Selangor.
Inti pati khutbah tersebut antara lain mengingatkan masyarakat bahawa anak-anak merupakan amanah daripada Allah SWT yang perlu dipelihara kemuliaan dan kebajikan mereka. Khutbah itu juga menekankan peranan ibu bapa, penjaga, serta rumah amal dalam membentuk masa depan yang baik untuk golongan tersebut dengan mewujudkan suasana dan persekitaran yang selamat.
Turut diingatkan ialah kewajipan menjaga kanak-kanak dengan sebaik-baiknya dan menolak sebarang bentuk eksploitasi demi kepentingan pihak tertentu.
Menurut hantaran tersebut, Sultan Sharafuddin yang berkenan berangkat menunaikan Solat Jumaat bersama penduduk di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, menyeru umat Islam agar menyayangi dan menyantuni kanak-kanak dengan penuh kasih sayang.
"Ini kerana kanak-kanak adalah penyejuk mata bagi ibu bapa dan penjaga, serta menjadi asbab untuk mereka dimasukkan ke syurga Allah SWT. Umat Islam juga hendaklah bersama-sama melindungi kanak-kanak daripada sebarang bentuk penderaan dan kezaliman dengan penuh amanah, ikhlas, dan tegas demi kebajikan serta kemaslahatan nyawa mereka," titah baginda.
Pada 21 September lepas, Sultan Sharafuddin menzahirkan rasa dukacita terhadap laporan siasatan polis berkaitan kegiatan jenayah oleh GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan rangkaiannya.
Sehubungan itu, baginda menitahkan semua agensi agama Islam Selangor untuk bekerjasama dan mengambil langkah tegas dalam menyiasat secara menyeluruh, bagi memastikan mereka yang terbabit dengan kesalahan jenayah yang dikaitkan dengan GISBH diambil tindakan sewajarnya. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!