Mesin pengimbas bagasi berteknologi terkini bantu tingkat keupayaan JKDM

Amir Hamzah (duduk) bersama Anis Rizana (kiri) melihat pengimbas bagasi baharu JDKM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Amir Hamzah (duduk) bersama Anis Rizana (kiri) melihat pengimbas bagasi baharu JDKM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
A
A
A

SEPANG - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuat penempatan 40 unit mesin pengimbas bagasi baharu berteknologi terkini yang dilengkapi dengan Artificial Intelligence (AI) bagi memperkasakan tahap keselamatan kawalan pintu keluar dan masuk sempadan negara.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, teknologi itu dapat meningkatkan tahap pengesanan melalui imbasan barang atau bagasi yang dibawa oleh penumpang, seterusnya dapat membantu menangani isu penyeludupan barang bercukai dan larangan termasuk narkotik.

Amir Hamzah (lima dari kiri) bersama Anis Rizana (empat dari kiri) bergambar selepas merasmikan pengimbas bagasi baharu JDKM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Amir Hamzah (lima dari kiri) bersama Anis Rizana (empat dari kiri) bergambar selepas merasmikan pengimbas bagasi baharu JDKM di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB

Beliau berkata, sejak mesin pengimbas tersebut beroperasi pada Julai 2024, JKDM berjaya mengesan beberapa kes yang berdasarkan hasil analisa imej imbasan.

"Pusat Mel & Kurier (PMK) Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) telah mencatatkan lapan kes narkotik daripada jenis ganja dan bliss cannabis yang bernilai RM577,625.

"Malah JKDM turut berjaya mengesan cubaan membawa masuk wang tunai berjumlah RM65,160 dan dadah jenis heroin seberat 5.25 kilogram bernilai RM492,375 melalui Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Padang Besar, Perlis dalam kes yang berasingan pada Jun dan Ogos 2024 yang lepas," katanya pada Jumaat.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian mesin pengimbas bagasi JKDM di KLIA.

Hadir sama Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Artikel Berkaitan:

Sejak mesin pengimbas tersebut beroperasi pada Julai 2024, JKDM berjaya mengesan beberapa kes yang berdasarkan hasil analisa imej imbasan. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB
Sejak mesin pengimbas tersebut beroperasi pada Julai 2024, JKDM berjaya mengesan beberapa kes yang berdasarkan hasil analisa imej imbasan. Foto Sinar Harian/ROSLI TALIB

Anis berkata, menerusi mesin pengimbas bagasi baharu itu, JKDM Zon Sabah turut berjaya mengesan dan merampas 20.3 kilogram dadah jenis methamphetamine yang dianggarkan bernilai lebih RM600,000 apabila ia cuba diseludup melalui pesawat penumpang.

Tegas beliau, JKDM sentiasa komited dalam aspek penguatkuasaan di mana pelan tindakan bagi meningkatkan tahap pengoperasian perkastaman dan penguatkuasaan dilaksanakan dengan membuat perolehan pelbagai jenis mesin pengimbas dari tahun 2023.

Jelasnya, ia termasuk perolehan lapan unit mesin pengimbas kargo udara dan tujuh unit mesin pengimbas bagasi bersaiz kecil di Terminal 1 dan Terminal 2 KLIA.

"Perolehan terbaharu adalah membabitkan 40 unit mesin pengimbas bagasi bersaiz besar yang melibatkan nilai perolehan mencecah RM64.2 juta," ujarnya.

Kata beliau, dengan penempatan 40 unit mesin pengimbas bagasi baharu itu, ia menjadikan keseluruhan jumlah mesin pengimbas baharu yang telah berjaya dipasang dan sedang beroperasi di pintu masuk seluruh Malaysia kepada 66 unit.

Jelas beliau, ia melibatkan jumlah keseluruhan nilai perolehan sebanyak RM84.3 juta.

"Jutaan terima kasih kepada Kementerian Kewangan ke atas peruntukkan yang diberikan kepada JKDM untuk perolehan mesin pengimbas dalam memastikan tugas pegawai di lapangan dapat dijalankan dengan efisien dan efektif," ujarnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!