Rayuan dua bekas ADUN Pulau Pinang cabar usul kosongkan kerusi ditolak

Dr Afif Bahardin (kiri), Zulkifli Ibrahim
Dr Afif Bahardin (kiri), Zulkifli Ibrahim
A
A
A

PUTRAJAYA - Mahkamah Rayuan di sini hari ini menolak permohonan dua bekas wakil rakyat yang mencabar kesahan usul yang diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang untuk memaksa mereka mengosongkan kerusi masing-masing.

Panel tiga hakim terdiri daripada Hakim-Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk Azizul Azmi Adnan serta Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril membuat keputusan itu sebulat suara.

Ruzima berkata, hakim Mahkamah Tinggi telah memperinci semua hujah yang dikemukakan ketika memutuskan untuk menolak permohonan bekas Ahli DUN (ADUN) Sungai Acheh, Zulkifli Ibrahim dan bekas ADUN Seberang Jaya, Dr Afif Bahardin.

"Kami mendapati tiada sebarang kekhilafan yang dilakukan oleh Mahkamah Tinggi dan justeru itu, kami mengendors sepenuhnya alasan penghakiman Mahkamah Tinggi,” katanya.

Bagaimanapun, mahkamah tidak membuat sebarang perintah mengenai kos guaman.

Zulkifli dan Dr Afif mengemukakan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Pulau Pinang pada 8 Disember tahun lepas yang mengesahkan usul DUN dalam mengisytiharkan kekosongan kedua-dua kerusi.

Hakim Datuk Anand Ponnudurai telah memutuskan bahawa Zulkifli dan Dr Afif hilang kelayakan untuk berada dalam DUN selepas mereka dipecat daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengikut Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang yang melarang tindakan lompat parti.

Selepas dipecat daripada PKR, Zulkifli dan Dr Afif menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia yang menyebabkan usul dikemukakan agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, mahkamah sama memutuskan bahawa Perkara 14A Perlembagaan Negeri Pulau Pinang tidak terpakai kepada bekas ADUN Bersatu Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Lazim (Teluk Bahang) kerana mereka tidak pernah meninggalkan parti itu.

Anand memutuskan bahawa Khaliq Mehtab dan Zolkifly kekal sebagai ADUN dari Mei 2018 hingga Jun tahun lepas serta memerintahkan agar semua hak kewangan tertunggak yang layak mereka terima dibayar sehingga DUN Pulau Pinang bagi tempoh itu dibubarkan.

DUN Pulau Pinang dan Speakernya, Datuk Law Choo Kiang tidak mengemukakan rayuan terhadap keputusan Anand mengenai Khaliq Mehtab dan Zolkifly.

Keempat-empat bekas ADUN telah memfailkan saman pemula memohon deklarasi mahkamah bahawa usul yang diluluskan oleh DUN Pulau Pinang pada 6 Mac tahun lepas agar mereka mengosongkan kerusi masing-masing adalah batal dan tidak sah.

Mereka menamakan Law dan DUN Pulau Pinang sebagai defendan.

Keempat-empat mereka telah bertanding pada Pilihan Raya Negeri 2018 menggunakan logo PKR. Ketika itu, Pakatan Harapan adalah terdiri daripada PKR, DAP, Amanah dan Bersatu.

Zulkifli dan Dr Afif kemudian telah dipecat daripada PKR susulan Langkah Sheraton pada 2020. Bersatu telah meninggalkan Pakatan Harapan pada 2020 dan membentuk kerajaan bersama BN, Pas serta beberapa parti daripada Sabah dan Sarawak.

Pada prosiding hari ini, peguam Tan Sri Azhar Azizan Harun dan Chetan Jethwani mewakili Zulkifli dan Dr Afif manakala peguam A.Surendra Ananth mewakili Law dan DUN Pulau Pinang. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!