Kilang kitar semula bahan besi diserbu, 91 warga asing ditahan

91 warganegara asing dari pelbagai negara ditahan dalam operasi berkenaan. Foto JIM
91 warganegara asing dari pelbagai negara ditahan dalam operasi berkenaan. Foto JIM
A
A
A

PUTRAJAYA - Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) menyerbu sebuah kilang barangan kitar semula bahan besi di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, Pahang dalam satu operasi bersepadu pada Rabu.

Ketua Pengarah JIM, Datuk Zakaria Shaaban berkata, operasi bermula jam 12 tengah hari itu melibatkan sepasukan pegawai dan anggota pelbagai pangkat JIM Negeri Pahang dan Bahagian Pencegahan ATIPSOM dan AMLA Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Negeri Pahang.

Beliau berkata, berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan selama dua minggu, pasukan operasi telah diatur gerak ke lokasi dan berjaya menahan seramai 91 warganegara asing dari pelbagai negara.

Kata beliau, kesemua yang ditahan terdiri daripada 43 lelaki warga China, Pakistan (21 lelaki), Bangladesh (19 lelaki), Indonesia (seorang lelaki), lima wanita warga China dan dua wanita warganegara Myanmar.

Jelasnya, mereka yang ditahan berusia dalam lingkungan 21 hingga 60 tahun.

Sebahagian warga asing ditahan JIM menerusi operasi bersepadu dilakukan di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, Pahang pada Rabu. Foto JIM
Sebahagian warga asing ditahan JIM menerusi operasi bersepadu dilakukan di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, Pahang pada Rabu. Foto JIM

"Operasi ini turut menggunakan pendekatan mengenal pasti mangsa pemerdagangan orang iaitu buruh atau perkhidmatan paksa melibatkan kalangan golongan rentan dengan berpandukan

National Guideline on Human Trafficking Indicators (NGHTI) 2.0.

Artikel Berkaitan:

"Modus operandi kilang ini adalah memproses sisa dan bahan besi yang melibatkan peleraian dan pembakaran untuk dijadikan besi yang baharu dan bahan pembinaan," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Zakaria berkata, semasa serbuan dilakukan, terdapat pekerja warganegara asing cuba melarikan diri serta bersembunyi dalam kawasan kilang yang sangat luas dan dipenuhi timbunan besi.

Jelasnya, situasi tersebut menyukarkan anggota serbuan untuk melakukan pemeriksaan, namun pihak serbuan berjaya melakukan tangkapan.

Tambahnya, hampir kesemua pekerja warganegara asing itu tidak diberikan kelengkapan keselamatan kerja dan ia boleh mengundang risiko kecederaan.

"Kesemua warganegara asing ditahan kerana disyaki telah melakukan kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63, Akta Pasport 1966 dan Peraturan-peraturan Imigresen 1963.

"Mereka kini ditahan di Depot Imigresen Kemayan, Pahang untuk siasatan lanjut," ujarnya.

Sementara itu menurut beliau, sebanyak tujuh notis untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan telah dikeluarkan kepada warganegara Malaysia yang berada di lokasi tersebut sewaktu operasi dijalankan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!