Tiga guru antara lima ditangkap bunuh murid dalam ritual tantrik di Uttar Pradesh
NEW DELHI - Polis di negeri Uttar Pradesh, utara India menahan lima orang, termasuk tiga guru, selepas seorang murid sekolah dibunuh dalam jenayah pengorbanan manusia.
Kejadian itu berlaku di sebuah sekolah di daerah Hathras, kira-kira 180 kilometer dari New Delhi.
Murid lelaki itu, berusia 11 tahun, dicekik sehingga mati pada Ahad selepas pengetua sekolah memilih untuk "mengorbankan" mangsa dalam ritual tantrik, mempercayai ia akan membawa kemakmuran kewangan dan kemasyhuran kepada sekolahnya serta keluarga, lapor media tempatan pada Jumaat, memetik polis.
Kanak-kanak itu diculik dari asrama selepas pemilik sekolah Jasodhan Singh, seorang penganut ilmu hitam dan ritual tantrik meminta anaknya Dinesh Baghel, yang merupakan pengarah sekolah itu, untuk melakukan pengorbanan manusia, menurut laporan berkenaan.
Dua guru dan pengetua sekolah Laxman Singh turut terlibat dalam jenayah itu dan antara yang ditangkap.
Khurafat adalah perkara biasa dalam masyarakat India, tetapi amalan kultus yang melampau seperti tantrisme dan ilmu hitam boleh melibatkan seks menyimpang, keganasan, pembunuhan, pemotongan anggota badan dan pengorbanan manusia sekali-sekala. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!