SAR dua beradik hanyut, bomba selongkar lumpur dan kayu balak
KENINGAU - Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dua beradik yang dihanyutkan arus sungai diteruskan di kawasan longgokan lumpur, kayu balak dan serpihan kayu di sungai Kampung Dalit, Sook, pada Jumaat.
Operasi SAR, Tipah Ashrul, 2, dan adiknya, Fadlie berusia dua bulan yang memasuki hari ke empat itu turut melibatkan jentera jenis jengkaut untuk mengeluarkan kayu balak dan serpihan kayu bersama lumpur di tepi sungai kawasan tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sook, Faisal Ahmad berkata, operasi dimulakan pada jam 8 pagi dengan kaedah pencarian atas air bersama agensi lain dan orang awam.
"Pencarian dilakukan sejauh lima kilometer di tiga sektor pencarian dengan menggunakan anjing pengesan dari Unit K9.
"Longgokan lumpur, kayu balak dan serpihan kayu diselongkar dengan bantuan jentera milik sebuah syarikat. Namun sehingga kini kedua-dua mangsa belum ditemui," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.
Faisal berkata, operasi kemudian ditangguhkan pada jam 5 petang dan akan disambung semula pada Sabtu.
"Maklumat akan dikemas kini dari masa ke masa namun lokasi kejadian tiada liputan talian telefon atau liputan Trunk Radio Bersepadu Kerajaan (GIRN) untuk menyalurkan maklumat dengan segera," katanya.
Sebelum itu, pada Selasa lalu dilaporkan tujuh individu hanyut dibawa arus ketika banjir di tempat kediaman mereka.
Dalam kejadian itu, lima terselamat manakala dua lagi iaitu kanak-kanak dan bayi dilaporkan hilang.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!