Jumpa najis tikus, pengusaha dewan selera MRSM Terendak dikompaun RM1,000

Tangkap layar video Asyraf Wajdi yang menunjukan najis tikus ditemui di ruang dewan selera MRSm berkenaan.
Tangkap layar video Asyraf Wajdi yang menunjukan najis tikus ditemui di ruang dewan selera MRSm berkenaan.
A
A
A

MELAKA - Pengusaha kantin di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak dikompaun RM1,000 selepas Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Melaka melalui Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah menemui najis tikus di ruang dapur dewan selera.

Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (Mara), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menerusi hantaran video di Facebook miliknya memaklumkan lawatan mengejut ke sekolah berkenaan susulan kes keracunan makanan yang berlaku sejak Khamis.

Menurutnya, seramai 48 pelajar mengalami keracunan makanan sehinggakan enam daripada mereka terpaksa dimasukkan ke wad kecemasan Hospital Angkatan Tentera, Terendak, Sungai Udang.

"Terima kasih kepada Jabatan Kesihatan dan Hospital Tentera Kem Terendak yang telah membuat tindakan pantas bagi merawat pelajar MRSM.

"Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) juga sedang melakukan siasatan lanjut bagi isu ini serta akan mengambil tindakan termasuk notis penutupan dewan selera ini," katanya.

Tambahnya, turut menzahirkan perasaan sedih dengan beberapa fasiliti di institusi pendidikan itu dengan keadaan bilik guru dan tandas di bangunan akademik, tandas di asrama putera dan puteri yang banyak tidak berfungsi dan rosak.

Katanya, telah meluluskan peruntukan untuk kerja-kerja penyelenggaraan dan baik pulih empat fasiliti asas iaitu tandas-tandas di bangunan akademik, bilik guru di Jabatan Sains selain tandas-tandas di Asrama Putera dan Puteri serta pintu-pintu kelas akademik yang rosak teruk.

"Kebajikan guru dan pelajar adalah menjadi keutamaan kami di Mara dan suasana yang kondusif amat penting untuk keselesaan semua bagi menjalankan aktiviti pengajaran dan pembelajaran," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu beliau turut bertegas tidak akan berkompromi dalam isu melibatkan kesihatan dan keselesaan pelajar.

"Saya akan terus memantau dan memastikan isu seperti ini tidak berlaku lagi, jika ianya berlaku, boleh terus laporkan kepada saya di ruangan komen Facebook ini," ujarnya lagi.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan Asyraf Wajdi mendedahkan MRSM yang terletak dalam kawasan kem tentera itu merupakan maktab paling teruk berbanding 39 MRSM yang telah dilawati.

Beliau berkata, malah keadaan fasiliti di institut pendidikan yang berusia 41 tahun itu daif dan uzur termasuk tandas, asrama selain sebuah bilik guru yang tidak boleh digunakan demi keselamatan.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!