Tugas Lembaga Pengarah urus dana SRC - Najib

Najib hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Bernama
Najib hadir di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada Jumaat. Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Datuk Seri Najib Razak hari ini memberitahu Mahkamah Tinggi di sini bahawa beliau tidak bertanggungjawab melakukan pengurusan secara mikro ke atas dana SRC International Sdn Bhd kerana ia adalah tugas Lembaga Pengarah (BOD) dan pengurusan syarikat itu.

Najib, 71, berkata, semasa menyandang jawatan sebagai Pengerusi Lembaga Penasihat SRC beliau mempercayai BOD untuk mengendalikan hal ehwal syarikat itu kerana ia terdiri daripada individu yang berkelayakan tinggi.

"BOD dan pihak pengurusan adalah organ utama syarikat jadi apabila saya memutuskan untuk menguruskan SRC dari sudut makro, saya mahu SRC berjaya dalam matlamatnya untuk mencari tenaga alternatif untuk negara," katanya ketika disoal balas oleh peguam Datuk Lim Chee Wee yang mewakili SRC.

Bekas Perdana Menteri itu memberi keterangan sebagai saksi defendan dalam saman AS$1.18 bilion yang difailkan oleh SRC International terhadap beliau dan bekas Ketua Pegawai Eksekutif SRC, Nik Faisal Ariff Kamil yang masih bebas.

Ditanya sama ada beliau boleh mengesahkan secara bebas penggunaan serta pengeluaran dana SRC, Najib berkata, beliau tidak boleh menguruskan secara mikro cara dana itu digunakan dan BOD perlu membuat keputusan mengenai daya maju sesuatu pelaburan.

Sementara itu, kepada soalan Lim sama ada beliau mempunyai bukti bahawa wang sebanyak AS$120 juta dalam akaun beliau bukan datangnya daripada SRC atau Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan, Najib meminta agar perkara itu dijawab kemudian.

Ini adalah kali kedua beliau tidak menjawab soalan mengenai isu itu.

Semalam, Lim menyoal beliau soalan sama mengenai AS$70 juta yang dideposit ke dalam akaun banknya dan Najib berkata: "Boleh saya jawab kemudian?"

Artikel Berkaitan:

Pada Mei 2021, di bawah pengurusan baharu, SRC memfailkan saman itu yang mendakwa Najib telah melakukan pecah amanah dan salah guna kuasa serta memperoleh ganjaran peribadi daripada dana SRC selain menyeleweng dana terbabit.

SRC International sebelum ini menggugurkan lima pengarahnya daripada saman itu dan mengekalkan Najib sebagai defendan tunggal.

Bagaimanapun, Mahkamah Tinggi memberi kebenaran kepada Najib untuk mengeluarkan notis pihak ketiga terhadap mereka.

Syarikat itu memohon deklarasi mahkamah bahawa Najib bertanggungjawab atas kerugian yang dialami SRC akibat pelanggaran tugas dan amanah beliau serta menuntut beliau membayar pampasan sebanyak RM42 juta bagi kerugian tersebut.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Ahmad Fairuz Zainol Abidin bersambung pada 9 Oktober ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!