Terima kasih kepada BN kerana sanggup terima Anwar, PH - Khalid Samad

Khalid
Khalid
A
A
A

KLUANG - Pengarah Komunikasi Parti Amanah Negara (Amanah), Khalid Ab Samad, secara terbuka mengucapkan terima kasih kepada Barisan Nasional (BN) kerana sanggup membentuk kerajaan bersama Pakatan Harapan (PH) dan mengetepikan kepentingan parti.

Menurutnya, setelah sekian lama menjadi pesaing, UMNO juga sanggup menerima Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Perdana Menteri dan menubuhkan Kerajaan Perpaduan.

“Mungkin tuan-tuan dan puan-puan masih tidak begitu selesa. Tapi saya secara peribadi daripada parti Amanah dan PH, kita berterima kasih kepada BN.

“BN sanggup terima Anwar sebagai Perdana Menteri, bentuk kerajaan dengan kita. Ahli politik yang berkualiti tahu bila waktu untuk berdamai demi kepentingan rakyat.

“Oleh itu, saya secara terbuka nak ucapkan terima kasih kepada UMNO kerana bersama PH membentuk kerajaan dan utamakan kepentingan negara bukan kepada parti politik masing-masing,” katanya ketika berucap di pentas Ceramah Perpaduan Mahkota ‘Grand Finale’ di sini, pada Jumaat.

Beliau menambah, BN boleh memilih untuk bersama Perikatan Nasional (PN) dan pemimpinnya berpotensi dilantik sebagai Perdana Menteri, namun tidak bertindak demikian.

“Kalau dia (mahu) pegi (bentuk kerajaan) dengan PN boleh. Zaman PN (jadi kerajaan) dulu, UMNO yang jadi Perdana Menteri.

“(Memang) betul, (Datuk Seri Dr Ahmad) Zahid (Hamidi) ada banyak isu. Itu kita letak di tepi.

Artikel Berkaitan:

“Yang terpenting, dia sanggup bentuk kerajaan dan terima PH, terima Anwar sebagai Perdana Menteri demi kepentingan negara,”katanya.

Untuk rekod, Kerajaan Perpaduan terbentuk pada tahun 2022 selepas Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) tiada parti berjaya mendapat majoriti untuk membentuk kerajaan.

18 parti di dalam Kerajaan Perpaduan terdiri daripada lima gabungan politik iaitu Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dan Parti Warisan (Warisan).

Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang sebelum ini menyertai Kerajaan Perpaduan kemudiannya bertindak menarik diri dan menyertai blok pembangkang sebagai kuasa ketiga.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!