Seorang maut, empat cedera nahas lori pasir, lima kereta

Seorang wanita maut dalam nahas melibatkan sebuah lori muatan pasir dan lima kereta di Nilai pada Jumaat.
Seorang wanita maut dalam nahas melibatkan sebuah lori muatan pasir dan lima kereta di Nilai pada Jumaat.
A
A
A

NILAI - Seorang wanita maut, manakala empat lagi termasuk dua kanak-kanak cedera selepas terlibat nahas melibatkan sebuah lori muatan pasir dan lima kereta di Jalan Persiaran Negeri di persimpangan lampu isyarat Persiaran Golf, di sini pada Jumaat.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintenden Mat Ghani Lateh berkata, dalam kejadian jam 3.45 petang itu, mangsa berusia 31 tahun disahkan maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah akibat tersepit.

"Siasatan awal mendapati semasa kejadian sebuah lori tipper jenis Nissan yang dipandu lelaki berusia 30 tahun dalam perjalanan dari arah Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang menghala ke Pusat Bandar Nilai.

Pasukan bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit.
Pasukan bomba dan penyelamat mengeluarkan mangsa yang tersepit.

"Apabila sampai di persimpangan lampu isyarat Persiaran Golf, telah hilang kawalan dan terbabas melanggar lima kereta iaitu Perodua Alza, Ativa, Honda Civic, Nissan Serena dan Suzuki Swift yang sedang berhenti di lampu isyarat berwarna merah," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Ujarnya, berikutan itu pemandu kereta jenis Perodua Ativa dipandu seorang wanita berusia 31 tahun telah tersepit di tempat duduk pemandu.

"Mangsa yang mengalami kecederaan parah di bahagian badan dan kepala telah disahkan meninggal dunia di tempat kejadian. Empat orang mangsa termasuk dua kanak-kanak berusia tujuh dan tiga tahun yang menaiki kereta jenis Perodua Alza mengalami kecederaan ringan.

Artikel Berkaitan:

"Manakala pemandu lori tipper dan empat mangsa yang lain masing-masing menaiki kereta jenis Honda Civic, Nissan Serena dan Suzuki Swift tidak mengalami kecederaan.

Nahas melibatkan sebuah lori muatan pasir yang hilang kawalan sebelum melanggar lima kereta.
Nahas melibatkan sebuah lori muatan pasir yang hilang kawalan sebelum melanggar lima kereta.

"Mangsa yang maut dan cedera telah dibawa ke Hospital Tuanku Jaafar, Seremban oleh orang awam dan ambulans bagi menerima rawatan," katanya.

Ujarnya, kes disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987. Sebarang maklumat orang ramai boleh salurkan kepada pihak Polis Daerah Nilai di talian 06-7904389 (Pusat Kawalan Daerah Nilai).

"Boleh juga menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah Nilai, Inspektor Muhammad Farid Danial Azli di talian 012- 9122198 bagi membantu siasatan," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!