KPE Bernama Nur-ul Afida terima Anugerah Luminary Media
KUALA LUMPUR - Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Nur-ul Afida Kamaludin menerima Anugerah Luminary Media pada Anugerah Jubli Intan Kelab Akhbar Kebangsaan (NPC) malam ini.
Anugerah berkenaan diberikan sebagai mengiktiraf kepimpinan luar biasa beliau dalam membuka sempadan dan memberi inspirasi kepada generasi baharu pemimpin wanita dalam bidang kewartawanan.
Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif menyampaikan anugerah itu.
Ketika ditemui selepas menerima anugerah itu, Nur-ul Afida berkongsi rasa bangga dan berbesar hati atas pengiktirafan yang diberikan NPC kepadanya.
Beliau berkata, keluarga adalah insirasi kejayaannya dalam bidang kewartawanan dan berharap pengalamannya dalam industri media selama hampir 39 tahun boleh dijadikan sebagai model peranan kepada generasi wartawan hari ini.
"Saya percaya anugerah ini diberi kerana saya adalah seorang wartawan yang bermula dari bawah. Saya berharap selama hampir 39 tahun bersama Bernama, saya boleh dijadikan model peranan sekurang-kurangnya dari aspek ketahanan diri dalam berhadapan cabaran semasa kita bertugas sebagai wartawan, penyunting hingga peringkat editor.
"Bidang wartawan ini bukanlah mudah, kita kena ada daya tahan diri yang kuat kerana dalam kita belajar mencipta pengalaman bersama rakan-rakan, kita pastinya tidak ketinggalan mendengar kritikan ketua. Saya percaya itu yang menjadikan saya kuat," katanya.
Nur-ul Afida yang bepengalaman luas dalam bidang kewartawanan telah memegang beberapa jawatan penting di Bernama termasuk mencatat sejarah sebagai wanita pertama memegang jawatan Ketua Pengarang agensi berita itu pada Oktober 2023.
Beliau yang juga anak kepada wartawan veteran Allahyarham AR Kamaludin, memulakan kerjaya sebagai wartawan di akhbar Harian Nasional dan menyertai Bernama pada Januari 1985 sebagai wartawan kadet. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!