Platform terbaik didik bahaya rasuah
KEPALA BATAS - Pelajar di Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Kepala Batas berharap agar Program Jelajah Antirasuah Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) diteruskan sebagai usaha penting untuk mendidik generasi muda tentang bahaya rasuah.
Menurut mereka, program ilmiah tersebut dilihat sebagai satu platform yang sangat baik untuk memberi pendedahan awal mengenai elemen rasuah dan kesannya terhadap negara.
Pelajar Tingkatan 4, Nur Afnan Zainudin berkata, program itu sangat bagus dan penuh dengan ilmu pengetahuan mengenai gejala rasuah yang berlaku dalam kalangan masyarakat ketika ini.
“Sangat bagus sebab ia memberi pendedahan awal kepada pelajar seperti kami.
“Dengan adanya program seperti ini, ia dapat memberi pengetahuan dan kesedaran kepada kami agar menjauhi rasuah.
“Saya berharap, program baik seperti ini diteruskan pada masa hadapan,” katanya ketika ditemui di sini.
Rakannya, Afif Hafiy Muhamad Norazam berkata, Program Jelajah Antirasuah MRSM memberi ilmu baharu kepadanya dan rakan-rakan tentang rasuah antaranya elemen yang menjurus kepada kegiatan tidak bermoral itu.
“Ia juga memberi kesedaran kepada kami agar tidak terlibat dengan rasuah apabila di dalam alam pekerjaan nanti,” katanya.
Afnan Nurjannah Mohd Zahari pula berkata, program ini membantunya memahami betapa seriusnya gejala rasuah dan cara untuk menghindarinya.
“Pendedahan gejala rasuah ini perlu dibuat di peringkat sekolah kerana kami merupakan generasi yang akan memasuki alam pekerjaan kelak,” katanya.
Sementara itu, Pengetua MRSM Kepala Batas, Syauqi Mohd Noor berkata, Program Jelajah Antirasuah MRSM amat bagus dan perlu disokong penganjurannya berikutan ia memberi banyak ilmu berhubung gejala rasuah.
Syauqi berkata, program tersebut diharap memberi impak yang positif dan bermanfaat yang berterusan terutama kepada pelajar MRSM terlibat.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua Unit Integriti Mara, Ahmad Sofi Abdullah berkata, seramai 706 pelajar MRSM Kepala Batas terlibat dalam Program Jelajah Antirasuah MRSM.
Menurutnya, di Pulau Pinang, sebanyak tiga MRSM terlibat iaitu MRSM Transkrian, MRSM Balik Pulau dan MRSM Kepala Batas.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!