'Jangan jual mahal beg kitar semula'
ALOR SETAR - Pengguna berharap 8,000 premis perniagaan yang bakal menghentikan penggunaan beg plastik sepenuhnya bermula 1 Oktober ini dapat menyediakan beg kitar semula pada harga rendah dan berpatutan.
Seorang pekerja swasta, Zaharizad Zulkifli, 31, berkata, perkara tersebut perlu dilakukan semua pemilik kerana langkah tersebut secara tidak langsung tidak membebankan pengguna sekali gus memupuk kesedaran masyarakat kepentingan menjaga alam sekitar.
“Bagi saya wajar kiranya peniaga ataupun pasar raya menyediakan beg kitar semula dengan harga terendah dan bukannya untuk mengambil kesempatan mengaut keuntungan yang lebih.
“Jangan jual beg kitar semula pada harga mahal kerana perkara ini dapat mendidik pelanggan dari awal untuk menggunakan beg kitar semula yang disediakan oleh peniaga pada harga lebih murah dan tidak membebankan pengguna,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.
Bagi pekerja awam, Mohd Soffee Wahab, 31, kempen secara besar-besaran perlu dilakukan oleh kerajaan dengan kerjasama semua pemilik premis perniagaan bagi memberikan kesedaran luas kepada pengguna.
Jelasnya, langkah itu perlu diberikan perhatian kerana bukan semua pengguna membawa beg kitar semula sendiri dari rumah.
“Usaha ini bagus, tapi perlu mengadakan kempen secara besar-besaran agar mesejnya sampai kepada pengguna. kalau kempen dah ‘meletup’, kesedaran tinggi akan timbul untuk bawa beg kitar semula dari rumah. Bagi yang lupa bawa boleh beli di premis perniagaan tapi jangan jual pada harga tinggi,” ujarnya.
Di PAHANG, pengguna berpendapat inisiatif kerajaan itu satu langkah tepat bagi melestarikan alam sekitar.
Penuntut Universiti Malaysia Perlis, Afiqah Farhana Azhar, 20, berkata, ia adalah satu perubahan yang sangat penting dalam menangani masalah pencemaran plastik.
Jelasnya, plastik sering kali berakhir di kawasan awam, sungai dan lautan membawa kesan buruk terhadap ekosistem dan hidupan liar.
"Saya yakin walaupun pada mulanya kita sebagai pengguna mungkin merasa kurang selesa, tetapi kita perlu menyesuaikan diri dengan kaedah baharu seperti membawa beg sendiri atau menggunakan alternatif lain.
"Pada jangka masa panjang, saya percaya langkah ini akan mendidik masyarakat untuk lebih bertanggungjawab terhadap alam sekitar," katanya.
Senada dengan itu, Aini Sofia Azhar, 19, berkata, inisiatif ini mengurangkan jumlah sisa plastik, sekali gus dapat menyelamatkan bumi.
"Perkara baik kita patut sokong, lebih lagi demi kelestarian alam sekitar bukan hanya daratan tetapi di lautan," kata penuntut Universiti Malaysia Terengganu itu.
Di MELAKA, pengguna berpendapat pasar raya besar mahupun kedai serbaneka sewajarnya menyediakan inisiatif kepada pelanggan dengan menyediakan plastik jenis biodegradasi atau mesra alam.
Penjaja di Kampung Gangsa, Noor Elyana Bidin berkata, 38, berkata, sekiranya merancang untuk keluar membeli barang tiada masalah untuk membawa beg plastik mahupun beg sendiri dari rumah ketika membeli barang.
Namun menurutnya, sekiranya ada barang yang perlu dibeli secara tiba-tiba dalam kuantiti yang banyak sudah pasti ia akan berdepan situasi menyulitkan untuk memegang barang tersebut.
"Kalau dari rumah kita dah rancang nak bawa tak ada masalah tapi, kalau ada kecemasan nak lagi macam saya niaga kecil-kecilan susah juga kalau tak ada plastik sebab ada barang yang beli kita tak rancang," katanya.
Bagi suri rumah yang mempunyai dua orang anak, Hafizah Yaacob, 40, berkata, dia menyambut baik pengumuman kerajaan menghentikan penggunaan beg plastik di beberapa premis perniagaan demi untuk menyelamatkan bumi.
Menurutnya, turut bersetuju agar tiada pihak mengambil kesempatan dengan mengenakan caj tambahan plastik.
"Mungkin pihak premis perniagaan boleh sediakan beg urai percuma atau kotak terpakai bagi memudahkan pengguna mengisi barang," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!