Nama rasmi koronavirus beberapa hari lagi
LONDON - Jawatankuasa Antarabangsa mengenai Taksonomi Virus (ICTV) diberi tanggungjawab untuk memutuskan nama rasmi bagi koronavirus.
Pembantu profesor di Pusat Johns Hopkins untuk Keselamatan Kesihatan, Dr Crystal Watson berkata, tugas menamakan virus baharu itu sering tertangguh kerana tumpuan utama adalah pada maklum balas kesihatan masyarakat.
Bagaimanapun, terdapat beberapa sebab mengapa menamakan virus menjadi keutamaan.
Merujuk kepada nama sementara Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Watson berkata, 2019-nCov adalah nama yang sukar digunakan dan ia mengakibatkan media serta orang awam menggunakan istilah berbeza.
"Adalah bahaya jika tidak mempunyai nama rasmi kerana orang akan mula menggunakan istilah seperti Virus China dan ia boleh mencetuskan tindak balas terhadap populasi tertentu," katanya seperti dilaporkan BBC hari ini.
ICTV membincangkan isu tersebut kira-kira dua minggu lalu dan telah menyerahkan nama itu kepada jurnal saintifik untuk penerbitan serta pengumuman rasmi beberapa hari lagi.
Difahamkan, garis panduan WHO tentang menamakan penyakit berjangkit manusia baharu adalah ia tidak perlu melibatkan lokasi geografi seperti bandar, negara, wilayah atau benua.
Badan kesihatan itu turut menyebut, Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS), selesema Sepanyol dan ensefalitis Jepun adalah antara contoh nama yang harus dielakkan.
Garis panduan juga mencadangkan nama penyakit boleh merangkumi istilah deskriptif generik khusus seperti kumpulan umur, tempoh masa, musim dan alam sekitar. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!