7 tahun kahwin, baru tahu suami hidap autisme

Noor Hasnita bersama suami.
Noor Hasnita bersama suami.
A
A
A

SHAH ALAM - "Saya masih ingat setiap satu dialog bersama kaunselor yang bertanyakan, adakah saya mahu meneruskan perkahwinan kerana individu autisme itu sukar untuk bertanggungjawab terhadap sesuatu."

Demikian kongsi seorang wanita, Noor Hasnita Rosli, 33, yang baharu mengetahui suaminya seorang autisme selepas tujuh tahun melayari rumah tangga.

Mengimbau kembali perbualan dengan kaunselor berkenaan, wanita tabah itu akui dia memilih untuk setia bersama suaminya.

"Saya sangat yakin dan tidak akan meninggalkan suami. Tujuh tahun itu sudah terlalu lama dan rasa sayang sangat kuat,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian baru-baru ini.

Mengulas lanjut, pekerja swasta tersebut mengakui tidak sedih mendengar berita yang disampaikan doktor tetapi lega apabila mendapat tahu jawapan kepada persoalan yang bermain di fikirannya.

Cerita yang dikongsi Hasnita di TikTok.
Cerita yang dikongsi Hasnita di TikTok.

“Semasa tahun keenam perkahwinan saya boleh tahan lagi, tetapi apabila sudah masuk tahun ketujuh, saya dapat rasakan ada sesuatu yang tidak kena.

“Selepas berbincang dengan suami, dia setuju untuk ke hospital dan pada saat itulah doktor mengesahkan suami mengalami autisme yang tidak pernah didiagnosis dari kecil,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Menyedari perkara itu, dia mula berkongsi cerita di media sosial untuk memberi pengetahuan mengenai autisme bukan sahaja ada pada kanak-kanak tetapi juga dewasa.

“Untuk yang mengikuti kisah suami, saya cuma mahu cakap, jangan menjadikan autisme pada dewasa sebagai benda asing dalam masyarakat. Kita kena faham mengenai ini supaya dapat belajar cara untuk mengawal emosi.

“Untuk suami pula, setelah apa yang dilalui, saya harap dia tidak sia-siakan pengorbanan saya selama ini. Saya sayang awak, Mohamad Azhar,” katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!