Polis bongkar makmal sindiket dadah antarabangsa di Perak
MANJUNG - Polis berjaya membongkar kewujudan sebuah makmal memproses dadah yang dijalankan satu sindiket pengedaran antarabangsa dalam operasi di sebuah ladang berhampiran kolam udang di Kampung Deralik, Sitiawan Isnin lalu.
Operasi bermula jam 2 petang hingga 9 malam itu berjaya merampas lebih 183 kilogram dadah pelbagai jenis yang dihasilkan dalam bentuk pil, serbuk dan ketulan dianggarkan bernilai RM15.5 juta.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, sindiket berkenaan didapati telah lama beroperasi dengan memilih lokasi terpencil untuk dijadikan makmal dadah bagi mengelak dikesan orang ramai.
"Kegiatan sindiket ini berjaya dikesan sejak tiga bulan lalu, kita adakan intipan dan seterusnya risikan hingga membawa kepada dua serbuan berasingan sekitar Sitiawan pada 3 Februari lalu.
"Hasilnya tiga lelaki tempatan termasuk ketua sindiket berusia lingkungan 40 hingga 60 tahun telah berjaya ditahan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Manjung di sini hari ini.
Menurutnya, siasatan awal mendapati, sindiket itu berkemungkinan ada kaitan dengan sindiket antarabangsa dan bekalan dadah yang dihasilkan bukan hanya untuk bekalan tempatan tetapi pasaran luar.
"Walaupun makmal dadah ini berada di kawasan ladang yang tidak teratur tetapi pembikinannya agak sempurna dengan menggunakan beberapa mesin.
"Polis kini dalam proses siasatan untuk mengesan lain-lain ahli sindiket yang bertindak sebagai pengedar dan pembekal," katanya.
Beliau berkata, antara bekalan dadah yang dirampas termasuklah 185,400 biji pil ekstasi, 91.8 kilogram (kg) serbuk dadah, 30.6kg cecair dadah dan 5kg ketulan dadah dipercayai methamphetamine yang boleh dibekalkan kepada 37,622 penagih.
Katanya, beberapa barangan yang belum diproses menjadi dadah turut dirampas terdiri 462kg bungkusan serbuk putih dan 249 liter pelbagai cecair kimia.
"Kita juga merampas banyak peralatan-peralatan memproses dadah yang digunakan antaranya enam mesin memproses dadah, dua mesin boiler, sebuah oven, empat mesin penapis serta 223 tong yang digunakan untuk mengisi cecair kimia," katanya.
Ketiga-tiga lelaki yang ditahan telah direman selama tujuh hari sehingga 10 Februari ini bagi siasatan kes di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!