Wanita melecur ketika redah api
RANAU - Seorang wanita melecur bahagian muka dan tangan ketika meredah api untuk menyelamatkan diri dalam kejadian kebakaran rumah di Kampung Langkau, di sini pada Sabtu.
Dalam kejadian kira-kira 4 pagi itu, wanita berusia 47 tahun segera dihantar ke Hospital Ranau untuk diberi rawatan lanjut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Ranau, Ridwan Mohd Taib berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 4.21 pagi.
"Kebakaran melibatkan sebuah rumah dua tingkat jenis separuh kekal yang terbakar 80 peratus.
"Terdapat seorang wanita melecur pada bahagian muka dan tangan diberi rawatan awal oleh anggota kita dan seterusnya dihantar ke hospital," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.
Katanya lagi, operasi memadamkan kebakaran segera dilakukan dengan menggunakan sumber air dari jentera dan air terbuka.
"Api berjaya dikawal pada jam 5.15 pagi sebelum ditamatkan selepas dua jam kemudian," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!