TH tubuh Rajih tingkat kecekapan, kajian isu manasik haji

Mohd Na’im (tiga dari kiri) menyampaikan watikah kepada Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID
Mohd Na’im (tiga dari kiri) menyampaikan watikah kepada Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID
A
A
A

KOTA BHARU - Lembaga Tabung Haji (TH) dalam proses menubuhkan Pusat Rujukan Ibadat Haji (Rajih) untuk meningkatkan kecekapan dan kajian terhadap isu-isu manasik haji (cara pelaksanaan).

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, Rajih akan bertindak mengurus dan meneliti kajian-kajian semasa yang melibatkan hal ehwal manasik haji.

“Kajian-kajian ini akan diangkat untuk dibincangkan dengan lebih menyeluruh.

Mohd Na’im. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID
Mohd Na’im. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID

“Sekiranya bersesuaian akan dijadikan sebagai satu keputusan untuk diguna pakai oleh pengurusan haji bagi musim haji semasa,” katanya kepada pemberita selepas Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan kali ke-41 Musim Haji 1446H/2024M di sini, pada Jumaat.

Sebelum ini, model penubuhan Rajih dimaklum bakal dimuktamad dalam tahun ini selepas perbincangan dan pertemuan TH dengan Universiti Utara Malaysia, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Sains Islam Malaysia.

Mohd Na’im memaklumkan, Rajih juga tidak hanya memfokuskan hal ehwal kajian semata-mata tetapi juga akan menjadi sebuah pusat latihan bagi Pengkursus Ibadat Haji Tanah Air (Pekta).

Artikel Berkaitan:

Para peserta yang menyertai Majlis Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke-41 Musim Haji 1446H/2024M di Kota Bharu pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID
Para peserta yang menyertai Majlis Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan Kali ke-41 Musim Haji 1446H/2024M di Kota Bharu pada Jumaat. Foto Sinar Harian/ADILA SHARINNI WAHID

“Rajih akan menjadi sebuah pusat latihan kepada pembimbing ibadat haji yang bertauliah untuk meningkatkan lagi kemahiran mereka dalam penyampaian dan memahami isu-isu yang bersifat kontemporari,” katanya.

Sementara itu, beliau memberitahu, TH turut memperkenalkan dua inisiatif baharu dengan melaksanakan Tadabbur al-Quran dan Kelas Asas Fardhu Ain Jemaah Haji di lokasi-lokasi terpilih sebagai projek rintis.

“Inisiatif ini bertujuan meningkatkan kualiti ibadah dalam kalangan bakal haji dengan penekanan terhadap penghayatan dan kefahaman Al Quran.

“Selainnya, TH berusaha memberi kefahaman isu-isu fardhu ain dan figh manasik haji yang menjadi permasalahan lazim jemaah semasa di Tanah Suci,” tambah beliau.

Dalam perkembangan lain, Mohd Na’im berkata, Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan (MHPK) ke-41 yang berlangsung di sini selamat tiga hari bermula pada Jumaat membincangkan permasalahan hukum-hakam ibadat haji 1445H.

“Antaranya, masalah talfia (menerima dan menggunakan pendapat mazhab lain) dalam pelaksanaan hukum haji, hukum menunaikan haji bagi wanita kematian suami yang mendapat giliran menunaikan haji, Dawabit al-Darurah dan al-Hajah (panduan penetapan hukum dari aspek keperluan ibadat haji) serta adab juga akhlak di Masyair.

“Program tahunan ini diadakan setiap kali pasca musim haji dengan mengumpulkan barisan pengurusan TH, petugas operasi haji, para Pekta, Ahli Jawatankuasa Penasihat Ibadat Haji, wakil-wakil Pengelola Jemaah Haji dan barisan ahli akademik serta delegasi ilmuwan agama daripada luar negara untuk berkongsi ilmu juga pengalaman dalam menetapkan keseragaman hukum-hakam berkaitan,” katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!