PRK Mahkota: Calon BN selesai mengundi
KLUANG - Calon Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, Syed Hussien Syed Abdullah selesai melaksanakan tanggungjawab sebagai pengundi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Perdana di sini pada pagi Sabtu.
Syed Hussien, 40, tiba di Pusat Daerah Mengundi (PDM) sekitar jam 8.53 pagi dan membuang undi di saluran lima.
“Alhamdulillah, saya selesai menjalankan tanggungjawab dengan mengundi pada pagi ini. Saya berharap semua berjalan lancar.
“Saya menyeru agar seluruh pengundi tidak kira di mana anda berada, keluar beramai-ramai bagi melaksanakan tanggungjawab sebagai pemilih.
“Masa masih panjang, jangan lupa untuk melunaskan tanggungjawab kepada negara, buatlah pilihan yang bijak untuk masa depan kita bersama,” katanya ketika ditemui di sini.
Dalam pada itu, Syed Hussien turut mencuri tumpuan apabila menyeru dalam bahasa Mandarin bagi pengundi yang belum mengundi agar keluar segera melaksanakan tanggungjawab mereka.
PRK DUN Mahkota diadakan susulan kekosongan luar jangka apabila penyandangnya, Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, meninggal dunia pada 2 Ogos lalu.
Allahyarham Sharifah Azizah yang mewakili BN menang dalam pertandingan empat penjuru dengan majoriti 5,166 undi.
PRK DUN Mahkota melibatkan seramai 66,318 pengundi berdaftar menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon BN, Syed Hussein dan calon Perikatan Nasional (PN), Mohamad Haizan Jaafar, 61.
Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di sini!.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!