PRK Mahkota: Lima beradik teruja pulang mengundi

Dari kiri: Zahreen Zainal, Siti Khadijah, Mahanun, Tarmizi dan Mohamad Helmi (berkerusi roda) selepas selesai mengundi di SK.Kampung Melayu.
Dari kiri: Zahreen Zainal, Siti Khadijah, Mahanun, Tarmizi dan Mohamad Helmi (berkerusi roda) selepas selesai mengundi di SK.Kampung Melayu.
A
A
A

KLUANG – Lima beradik bersemangat menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi apabila bersepakat keluar membuang undi bersama-sama di Sekolah Kebangsaan (SK) Kampung Melayu.

Meskipun tinggal di luar daerah Kluang, ia tidak menghalang mereka pulang untuk menunaikan tanggungjawab mengundi pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota pada Sabtu.

Zahreen Zainal, 48, Mahanun, 39, Mohamad Helmi, 37, Tarmizi, 29, dan Siti Khadijah, 25, teruja tiba sekitar jam 8 pagi di SK Kampung Melayu.

Menurut Zahreen, faktor yang mendorongnya bertolak dari Puchong, Selangor ke Kluang semalam untuk mengundi adalah kerana mahukan masa depan negara yang lebih baik.

“Kita mahukan negara ke arah yang betul, lebih baik dan terjamin dengan menyediakan peluang pekerjaan. Kalau tiada pekerjaan susah.

Kalau kita ada pelajaran tetapi tiada pekerjaan pun susah,” ujarnya yang merupakan pesakit strok sejak lapan tahun lalu, ketika ditemui selepas mengundi.

Anak kedua daripada sembilan beradik itu juga mahukan kerajaan terus membantu rakyat.

Mohamad Helmi yang tinggal di Taman Impian Emas, Skudai, Johor Bahru pula berkata, meskipun cedera di bahagian lutut, dia tetap bersemangat mengundi dengan berkerusi roda.

Artikel Berkaitan:

“Balik ke kampung di sini kali ini bukan sahaja untuk mengundi tetapi seperti satu ‘reunion’ untuk keluarga kami apabila ramai pulang termasuk yang tidak mengundi di sini,” katanya.

Siti Khadijah pula berkata, dia dan suami yang tinggal di Kuantan mengambil cuti dan tiba di rumah keluarganya di Kampung Melayu jam 12 tengah malam Jumaat.

Dia yang bekerja sebagai pengendali dokumen bagi projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) di Kuantan pulang mengundi kerana beranggapan setiap undi adalah berharga.

“Itu sebab kami pulang mengundi termasuk kakak saya, Mahanun dari Melaka dan Tarmizi yang pulang dari Johor Bahru. Setiap undi tidak boleh disia-siakan,” katanya.

Proses pengundian PRK DUN Mahkota bermula jam 8 pagi dan akan berakhir pukul 6 petang ini.

Seramai 61,397 pengundi layak mengundi di 20 Pusat Daerah Mengundi (PDM).

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!