763 terima darjah kebesaran Hari Keputeraan Sultan Kelantan

Nazran (tengah) semasa sidang akhbar sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Pejabat Sultan Kelantan, Istana Balai Besar, Kota Bharu pada Sabtu.
Nazran (tengah) semasa sidang akhbar sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V di Pejabat Sultan Kelantan, Istana Balai Besar, Kota Bharu pada Sabtu.
A
A
A

KOTA BHARU - Sultan Kelantan, Sultan Muhammad V berkenan mengurniakan Gelaran-gelaran, Darjah-darjah Kebesaran, Bintang-bintang, Pingat-pingat dan Surat Kepujian kepada 763 penerima sempena Perayaan Ulang Tahun Hari Keputeraan yang ke-55.

Istiadat tersebut akan berlangsung di Istana Balai Besar di sini bermula jam 8 pagi pada Ahad.

Setiausaha Kerajaan Negeri Kelantan, Datuk Nazran Muhammad berkata, menjunjung titah perintah dan limpah kurnia Sultan Muhammad V turut akan melantik tiga individu menjadi Jaksa Pendamai sempena perayaan ulang tahun pada tahun ini.

"Baginda perkenan mengurniakan satu Darjah Kebesaran Mahkota Kelantan dan 35 darjah kebesaran lain yang membawa gelaran Datuk.

"Turut akan menerima Darjah-darjah Kebesaran ialah seramai 292 individu, Bintang-bintang (259) dan Pingat-pingat 176 individu," katanya semasa sidang akhbar di Pejabat Sultan Kelantan, Istana Balai Besar di sini pada Sabtu.

Hadir sama, Pengelola Istana D'Raja Kelantan, Datuk Nik Mohd Shafriman Nik Hassan dan Ketua Istiadat Kelantan, Mejar Jeneral (B) Datuk Mamat Ariffin Abdullah.

Menurut beliau, istiadat Penganugerahan Darjah Kebesaran dan Pingat-pingat negeri Kelantan tersebut akan diadakan dalam dua sesi dengan sesi pertama melibatkan lebih 100 penerima bermula Ahad.

Perayaan menyambut Hari Keputeraan Sultan Kelantan dirangka meliputi istiadat dan susunan seperti Majlis Solat Hajat dan Doa Selamat di Masjid Jamek Al-Ismaili Bandar Baru Pasir Pekan, Tumpat dan semua Masjid Jamek jajahan.

Artikel Berkaitan:

Turut diadakan solat Jumaat dan jamuan rakyat di Masjid Zairiz Al-Iman, Mukim Kedai Buloh di sini dan banyak lagi.

Tidak ketinggalan Istiadat Pemeriksaan Barisan Kehormat di Padang Merdeka dekat sini.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!