PRK Mahkota: 23.4 peratus keluar mengundi setakat jam 11 pagi
KLUANG - Peratusan keluar mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota merekodkan sebanyak 23.4 peratus setakat jam 11 pagi, meningkat sedikit berbanding pilihan raya negeri (PRN) lalu.
Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Seri Ramlan Harun berkata, proses pembuangan undi setakat ini juga berjalan lancar.
"Alhamdulillah semuanya berjalan dengan tertib dan teratur. Sehingga 11 pagi tadi, jumlah pengundi yang telah keluar adalah sebanyak 23.4 peratus berbanding dengan PRU (pilihan raya negeri) yang lepas pada tempoh sama sebanyak 22.4 peratus.
"Maknanya ada peningkatan yang agak baik," katanya pada sidang media selepas meninjau pusat mengundi Dewan Jubli Intan Sultan Ibrahim di sini pada Sabtu.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi segera keluar menunaikan tanggungjawab kerana ramalan kaji cuaca juga menunjukkan akan berlaku hujan pada waktu petang.
"Kita berharap pengundi-pengundi yang keluar mengundi dapat keluar awal menunaikan tanggungjawab.
"Kita berharap kadar pengundian akan terus meningkat dengan baik bagi memastikan demokrasi yang kita junjung ini dapat berjalan dengan baik," katanya.
Sementara itu, beliau difahamkan terdapat dua laporan polis diterima setakat tempoh proses pengundian berlangsung.
"Kedua-dua tersebut dalam tindakan polis. Namun kita tiada maklumat lanjut berhubung insiden dilaporkan.
"SPR hanya terima laporan-laporan kesalahan kecil seperti isu poster dan sebagainya, namun setakat ini tiada laporan insiden yang kami terima," katanya.
Dapatkan liputan komprehensif sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di sini!.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!