Draf undang-undang pinda Akta 171 dijangka dibentang ke Kabinet tahun depan - Kor Ming
KUALA LUMPUR - Draf rang undang-undang bagi meminda Akta Kerajaan Tempatan 1976 (Akta 171) dijangka akan dibentangkan ke Kabinet tahun depan, kata Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.
Beliau berkata, pindaan akta itu termasuk mengenakan denda melakukan khidmat sosial mencuci longkang dan tandas kepada individu yang mengulangi kesalahan membuang sampah merata-rata, kini di peringkat akhir semakan sebelum dibawa ke Jabatan Peguam Negara pada bulan hadapan.
"Undang-undang khidmat sosial ini bukan asing sebenarnya (dan), ia telah dilaksanakan di banyak negara maju termasuk Sweden, Norway dan Singapura. Singapura telah mula sejak 1994, sudah 34 tahun... siapa buang sampah didenda SGD$2,000 (kira-kira RM6,447), manakala kesalahan kedua SGD$4,000 termasuk dijemput mencuci dan sapu jalan.
"Malaysia ketinggalan tiga dekad lebih...kerana itu Singapura bersih dan Jepun juga bersih,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Sempena World Cleanup Day 2024 di sini hari ini.
Kor Ming yakin rakyat di negara ini mampu menitikberatkan lagi aspek kebersihan seperti mana yang diamalkan di Singapura dan Jepun termasuk menghentikan sikap membuang sampah dari kenderaan.
Beliau berkata, ketika ini kerajaan terpaksa membelanjakan hampir RM3 bilion setahun termasuk di negeri yang belum menerima pakai Akta Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam 2007 (Akta 672) untuk pembersihan awam dan pengurusan sisa pepejal.
Kor Ming yang menjangkakan sebanyak 14.5 metrik tan sampah dijana tahun hadapan berkata sekiranya tidak diuruskan dengan baik, ia akan menggugat kesihatan awam, menjejaskan imej negara serta menjatuhkan indeks kebahagiaan rakyat.
"Oleh sebab itulah kita adakan program ( Program Pembersihan Mega) pada hari ini yang dilaksanakan secara serentak seluruh negara.
"Setakat 8.20 pagi tadi, seramai 18,000 penyertaan telah diterima dan saya yakin menjelang petang dan malam nanti akan cecah lebih 50,000 penyertaan sekali gus dapat pecah The Malaysia Book of Records bagi kriteria bilangan penyertaan teramai, kutipan sisa pepejal terberat dan tempoh masa gotong-royong terlama iaitu 12 jam,” katanya.
Mengenai program hari ini, Kor Ming berkata, ia dilaksanakan berkonsepkan gotong-royong mega meliputi skop pembersihan kawasan sekitar, pembersihan dan penutupan tapak sampah haram, pelaksanaan kempen kitar semula dan kesedaran penggunaan plastik sekali guna. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!