Beberapa ajaran sesat di Perak sudah dikenal pasti - Saarani

Saarani (dua dari kanan) menerima cenderahati selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-61 Persekutuan Seruan Islam Perak (Jam'iyah Perak) di Dewan Tun Razak, Kompleks Persekutuan Seruan Islam Perak pada Sabtu.
Saarani (dua dari kanan) menerima cenderahati selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-61 Persekutuan Seruan Islam Perak (Jam'iyah Perak) di Dewan Tun Razak, Kompleks Persekutuan Seruan Islam Perak pada Sabtu.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak mengesan beberapa ajaran sesat di negeri ini yang beroperasi di daerah tertentu.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, kegiatan ajaran sesat itu dikenal pasti melalui hasil penyelidikan yang dibuat Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

Menurutnya, susulan itu pihaknya sedang memantau kegiatan ajaran tersebut tanpa mendedahkan individu mahu pun organisasi berkenaan.

"Ia (ajaran sesat) di bawah Majlis Keselamatan Negara. Kita tidak menghebohkan apa sedang kita buat. Memang kita ada memantau beberapa tempat, beberapa kawasan yang ada unsur-unsur ajaran sesat yang menyimpang daripada akidah Ahli Sunnah Wal Jamaah.

"Kita tak dapat nak hebahkan benda itu takut orang lari ataupun kadang-kadang orang berselindung di balik kerja-kerja itu lari. Jadi sebab itu kita buat secara hikmah, secara rahsia dan saya tak dapat menafikan bahawa memang ada (ajaran sesat di Perak)," katanya kepada pemberita.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Kali ke-61 Persekutuan Seruan Islam Perak (Jam'iyah Perak) di Dewan Tun Razak, Kompleks Persekutuan Seruan Islam Perak di sini pada Sabtu.

Dalam perkembangan berkaitan, Saarani berkata, selain pemantauan, Bahagian Penyelidikan JAIPk juga menjalankan siasatan terhadap mereka yang terlibat dengan ajaran sesat itu.

Menurutnya, laporan akan dikemukakan kepada pihak berkuasa agama jika didapati individu, kumpulan atau organisasi terlibat mempunyai unsur-unsur ajaran sesat untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

Saarani turut menasihati orang ramai untuk merujuk kepada pihak berkuasa agama di peringkat daerah dan negeri jika terdapat kegiatan meragukan oleh pihak tertentu bagi mengelak sebarang kekeliruan dalam masyarakat.

Sementara itu, beliau menyerahkan segala siasatan berhubung isu GISBH Holding Sdn Bhd (GISBH) di negeri ini kepada pihak polis.

Pada Ogos lalu, Pengarah JAIPk, Harith Fadzilah mengakui wujud gerakan ajaran sesat Millah Abraham di sebuah daerah di negeri ini.

Susulan itu JAIPk akan bekerjasama dengan beberapa agensi lain termasuk polis bagi menangani gerakan ajaran sesat itu.

Beberapa hari lalu, satu akaun Facebook mendedahkan terdapat satu ajaran sesat yang dikesan di daerah Muallim.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!