[VIDEO] Pemandu lori punca kemalangan maut positif dadah

A
A
A

NILAI - Pemandu lori muatan pasir yang dilaporkan menjadi punca kemalangan membabitkan lima kereta yang turut mengakibatkan seorang maut di persimpangan lampu isyarat Persiaran Golf di sini pada Jumaat didapati positif dadah.

Timbalan Ketua Polis Daerah Nilai, Deputi Superintenden Mat Ghani Lateh berkata, berdasarkan ujian urin yang dilakukan terhadap suspek lelaki berusia 30 tahun itu, dia positif dadah jenis Methamphetamine.

"Suspek kini direman selama empat hari bermula hari ini bagi melengkapkan siasatan kes mengikut Seksyen 44(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Suspek diiringi anggota polis selepas selesai permohonan reman pada Sabtu.
Suspek diiringi anggota polis selepas selesai permohonan reman pada Sabtu.

Suspek sebelum itu di bawa ke Mahkamah Majistret Seremban untuk proses reman dan permohonan reman terhadap suspek itu dibuat di hadapan Majistret Syed Farid Syed Ali.

Sinar Harian pada Jumaat melaporkan seorang wanita maut, manakala empat lagi termasuk dua kanak-kanak cedera selepas terlibat nahas berkenaan.

Dalam kejadian jam 3.45 petang itu, mangsa berusia 31 tahun disahkan maut di lokasi selepas mengalami kecederaan parah akibat tersepit.

Artikel Berkaitan:

Laporan Sinar Harian pada Jumaat mengenai nahas tersebut.
Laporan Sinar Harian pada Jumaat mengenai nahas tersebut.

Siasatan awal mendapati semasa kejadian sebuah lori tipper jenis Nissan yang dipandu suspek dalam perjalanan dari arah Bandar Baru Salak Tinggi, Sepang menghala ke Pusat Bandar Nilai.

Apabila sampai di lokasi berkenaan, lori tersebut dipercayai telah hilang kawalan dan terbabas melanggar lima kereta iaitu Perodua Alza, Ativa, Honda Civic, Nissan Serena dan Suzuki Swift yang sedang berhenti di lampu isyarat berwarna merah.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!