'Saya lihat mereka terkapai-kapai sebelum hilang dibawa arus'

Seorang wanita dan anak lelakinya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) hilang dibawa arus deras akibat banjir kilat di Kampung Tanjung Kiri, Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang di sini pada pagi Sabtu.
Seorang wanita dan anak lelakinya yang berstatus orang kurang upaya (OKU) hilang dibawa arus deras akibat banjir kilat di Kampung Tanjung Kiri, Jalan Padang Sanai, Kuala Nerang di sini pada pagi Sabtu.
A
A
A

KUALA NERANG - "Saya lihat mereka terkapai-kapai dalam arus deras, saya dan beberapa penduduk kampung panggil mereka, namun mereka tidak menyahut.. selepas itu mereka hilang dibawa arus,” kata seorang saksi kejadian dua beranak dihanyutkan arus deras banjir di Kampung Tanjung Kiri dekat sini, pagi Sabtu.

Mohd Sofi Rhazalee, 39, berkata, beliau menyaksikan sendiri detik cemas semasa ibu tunggal Salmah Mat Zain, 46, dan anaknya Muhammad Rosman Rohadi, 19, dihanyutkan arus deras.

"Saya baru pulang dari kedai selepas beli sarapan semasa kejadian, saya nampak kedua-duanya sedang berpaut di pokok getah ketika cuba meredah arus deras banjir.

"Saya menjerit minta mereka berpatah balik, namun ibunya yang berpaut pada pokok getah itu tiba-tiba terlepas, dan anaknya yang juga orang kelainan upaya (OKU) lembam cuba menarik ibunya.

"Selepas itu mereka terkapai-kapai.. saya dan penduduk yang berada di situ cuba memanggil mereka namun tak ada tindak balas dan hilang terus dibawa arus,” katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Tanjung Kiri di sini pada Sabtu.

Sementara itu seorang lagi saksi kejadian Mohd Amir Mohd Sougelail, 28, berkata, beliau serta beberapa penduduk kampung sudah memanggil dua beranak itu dan memberi amaran supaya jangan meredah banjir sebab arus deras, namun mereka tetap teruskan perjalanan.

"Saya nampak wanita itu berpaut pada pokok getah sebelum anaknya berpatah balik untuk ambil ibunya sebelum kedua-duanya hanyut...air sangat deras kerana terletak berdekatan Sungai Padang Terap yang melimpah akibat hujan lebat pada malam tadi,” katanya.

Sementara itu operasi mencari dan menyelamat kedua-dua mangsa masih berjalan melibatkan anggota dan pegawai daripada bomba, polis dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!