Lesen perniagaan pemilik premis abai kebersihan tidak disambung
KUALA LUMPUR - Pemilik premis makanan di Wilayah Persekutuan yang mengabaikan aspek kebersihan di premis masing-masing bakal berdepan dengan tindakan tidak disambung lesen perniagaan, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa.
Beliau berkata, kebersihan premis makanan adalah sebahagian daripada inisiatif Lestari Niaga yang ditekankan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Semasa Mesyuarat Ketua-Ketua Agensi Jabatan Wilayah Persekutuan dua hari lepas, saya telah mengarahkan Datuk Bandar Kuala Lumpur (Datuk Seri Dr Maimunah Mohd Sharif) supaya memastikan penguatkuasaan dibuat terhadap premis-premis di Kuala Lumpur, khususnya premis makanan, berhubung kebersihan.
"Kalau didapati premis itu tak capai tahap kebersihan yang optimum, kita tidak akan sambung lesen perniagaan mereka,” katanya ketika berucap di majlis Hari Cuci Malaysia: Program Pembersihan Mega Sempena World Cleanup Day 2024, di sini pada Sabtu.
Dr Zaliha berkata, setakat Julai tahun ini 417 premis makanan di sekitar ibu kota telah ditutup kerana tidak menepati piawaian pembersihan.
Mengulas mengenai Program Pembersihan Mega, beliau berkata komitmen yang ditunjukkan pada program tersebut amat penting dalam memastikan negara kekal bersih terutamanya menjelang Malaysia mengambil alih tugas sebagai Pengerusi ASEAN 2025 dan Tahun Melawat Malaysia pada 2026. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!