Pulau Pinang rancang lebih banyak 'Streets of Harmony'
BAYAN BARU - Kerajaan Pulau Pinang melalui organisasi, Penang Harmony Corporation (HARMONICO) merancang untuk mewujudkan lebih banyak 'Streets of Harmony' di negeri ini.
Streets of Harmony adalah salah satu inisiatif oleh kerajaan Pulau Pinang untuk mengenal pasti komuniti-komuniti agama di Pulau Pinang yang wujud bersama, berfungsi dan hidup berdekatan antara satu sama lain yang mencerminkan harmoni di negeri ini.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, Streets of Harmony menempatkan rumah-rumah ibadat pelbagai agama dalam satu kawasan secara harmoni.
Menurutnya, usaha itu perlu dilakukan untuk menunjukkan semua agama dapat hidup bersama dalam satu lokasi berdekatan.
"Walaupun kita tahu ia perlu diuruskan, bukan terjadi secara semula jadi kecuali Streets of Harmony pertama iaitu di Masjid Kapitan Keling.
"Di situ, ia terjadi secara semula jadi organik berbanding di kawasan lain termasuk di Bayan Baru ini. Ia memerlukan usaha yang berterusan, selagi ada manusia, selagi itu usaha ini perlu diteruskan," katanya ketika ditemui selepas Majlis Perasmian Streets of Harmony Bayan Baru di sini pada Sabtu.
Ketika ini, Pulau Pinang mempunyai lima Streets of Harmony iaitu di George Town, Seberang Jaya, Butterworth, Bukit Mertajam dan Bayan Baru.
Bagaimanapun kata Kon Yeow, Streets of Harmony Butterworth masih dalam peringkat pembinaan.
"Kerajaan negeri hanya menawarkan tanah dan tertakluk kepada pertubuhan agama masing-masing untuk membina rumah ibadat mereka. Tapak-tapak ini dirancang, maka perlu ada perancangan bandar atau pembangunan.
"Pihak pemaju pula dikehendaki menyediakan tanah atau bangunan, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan. Ia mengambil masa untuk mendirikan rumah ibadat ini, bukannya boleh dilaksanakan dalam tempoh yang singkat.
"Seperti Streets of Harmony Bayan Baru ini, ia satu contoh yang mana ia diwujudkan secara perancangan bandar. Ia dibuka untuk permohonan dan rumah ibadat akan dipilih untuk berada di sini," katanya.
Ditanya sama ada Streets of Harmony akan dijadikan tapak pelancongan, Kon Yeow berkata, hal itu sedang dalam perancangan.
"Memang ada perancangan, mungkin untuk kawasan-kawasan yang sesuai.
"Seperti di Masjid Kapitan Keling, ia memang sudah berada di tapak pelancongan," tambahnya.
Streets of Harmony Bayan Baru merupakan kawasan pembangunan oleh Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) sejak era 70-an sebagai salah satu bandar satelit Pulau Pinang.
Kini, setelah hampir lima dekad sejak perancangan pembangunan tersebut, kawasan itu terus berkembang pesat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!