Gajah, beruang ganggu penduduk di Jeli, Tanah Merah ditangkap
KOTA BHARU - Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Kelantan menangkap seekor gajah dan beruang masing-masing di Jeli serta Tanah Merah minggu lalu.
Penangkapan kedua-dua haiwan liar itu memberikan kelegaan kepada penduduk di kedua-dua kawasan terbabit.
Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani berkata, tangkapan gajah jantan di Kampung Lama, Kuala Balah di lakukan pada Khamis.
"Tangkapan ini sedikit sebanyak melegakan penduduk di kawasan tersebut seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan akibat kemusnahan tanaman.
"Pelepasan gajah liar itu ke habitat yang lebih sesuai dan selamat akan dijalankan dalam masa terdekat," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Dalam pada itu, Mohamad Hafid berkata, pada Jumaat seekor beruang jantan telah ditangkap di Bukit Langsat, Gual Ipoh, Tanah Merah.
Ujarnya, terdahulu Perhilitan Kelantan menerima aduan berhubung gangguan itu pada 19 September.
Mohamad Hafid memberitahu, beruang jantan itu akan dipindahkan ke kawasan selamat dalam masa terdekat.
"Tangkapan beruang matahari ini sedikit sebanyak melegakan penduduk di kawasan tersebut.
"Seterusnya dapat mengelakkan kerugian berterusan yang dialami penduduk akibat kemusnahan tanaman dan harta benda akibat konflik berkenaan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!