Pahang International Scout Scarf Festival diiktiraf MBOR

Fadzli bersama sebahagian peserta yang menyertai Pahang International Scout Scarf Festival 2024 di Stadium Darul Makmur, pada Sabtu.
Fadzli bersama sebahagian peserta yang menyertai Pahang International Scout Scarf Festival 2024 di Stadium Darul Makmur, pada Sabtu.
A
A
A

KUANTAN - Program Pahang International Scout Scarf Festival 2024 menerima pengiktirafan daripada Malaysia Book Of Records (MBOR) apabila berjaya merekodkan penyertaaan paling ramai dalam festival yang diadakan di Stadium Darul Makmur, pada Sabtu.

Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Pahang, Fadzli Mohamad Kamal berkata, sejarah tercipta apabila menerima penyertaan seramai 19,397 individu dari seluruh Malaysia.

Menurutnya, lima negara luar seperti Thailand, Myanmar, Singapura, Brunei dan Indonesia turut serta dalam festival yang dianjurkan Sekretariat Pengakap Kelana Negeri Pahang.

"Ini penganjuran kali kedua dan paling ramai. Ini cabaran diberikan kepada (sekretariat) Pengakap Kelana, saya sediakan tempat, bantu (dari segi) kerjasama dengan agensi lain, cuma saya hendak penyertaan ramai.

"Mereka berjaya buktikan pada hari ini. Tahun lalu seramai 8,000 penyertaan, maknanya ini lebih dari sekali ganda dan kita catat 19,397 penyertaan dan diiktiraf oleh MBOR," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengadakan sidang akhbar selepas Program Pahang International Scout Scarf Festival 2024 di Stadium Darul Makmur, pada Sabtu.

Fadzli (dua dari kanan) menerima sijil pengiktirafan MBOR oleh wakil MBOR pada Program Pahang International Scout Scarf Festival 2024 di Stadium Darul Makmur, pada Sabtu.
Fadzli (dua dari kanan) menerima sijil pengiktirafan MBOR oleh wakil MBOR pada Program Pahang International Scout Scarf Festival 2024 di Stadium Darul Makmur, pada Sabtu.

Fadzli memberitahu, kerajaan Pahang menyokong penganjuran seperti ini dan bersedia memberi kemudahan percuma sama ada di luar mahu pun dalam stadium berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Jelasnya, sebanyak RM30,000 disumbangkan kepada Sekretariat Pengakap Kelana kepada penganjuran festival terbabit.

"Terima kasih kepada semua pihak yang menjayakan program ini, saya lihat satu senergi cukup baik dimana pengakap ini (dapat) menyatukan kita tidak kira Melayu, Cina dan India, (malah) orang luar pun bersama bersatu hati menjayakan program ini.

"Ia bukan mudah untuk dilaksanakan jika tiada kesepakatan dan kepercayaan yang dibina dalam pengakap itu sendiri," jelasnya.

Fadzli bersama lima wakil pengakap daripada lima negara yang menyertai Pahang International Scout Scarf Festival 2024 di Stadium Darul Makmur, pada Sabtu.
Fadzli bersama lima wakil pengakap daripada lima negara yang menyertai Pahang International Scout Scarf Festival 2024 di Stadium Darul Makmur, pada Sabtu.

Dalam pada itu, Fadzli memaklumkan, banyak nilai positif yang dipelajari dalam berpengakap termasuk dari segi kawad, perkhemahan dan ikhtiar hidup.

"Ini semua mengajar kita untuk mengenal diri sendiri, bagaimana hendak berhubung dan berkomunikasi dengan orang lain.

"Paling penting pengakap ini membentuk disiplin patuh kepada ketua dan ketahanan diri melalui aktiviti ikhtiar hidup yang menjadi aktiviti pengakap sejak dulu lagi," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!