MBPJ laksana operasi tembak gagak di 26 lokasi 'hotspot'

MBPJ akan melaksanakan operasi menembak gagak di 26 lokasi sekitar Petaling Jaya. Gambar hiasan
MBPJ akan melaksanakan operasi menembak gagak di 26 lokasi sekitar Petaling Jaya. Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) menerima 174 aduan berkaitan kacau ganggu burung gagak sejak empat tahun lalu.

Sekretariat Media Unit Komunikasi Korporat dalam kenyataannya memaklumkan, rekod sehingga 3 Julai lalu menunjukkan sebanyak 49 aduan diterima pada 2020 dan 2021.

Menurut kenyataan itu, sebanyak 47 aduan pada 2022 dan tahun lalu hingga 3 Julai pula merekodkan sebanyak 15 aduan.

"MBPJ telah melakukan pemantauan dan mengenal pasti 26 lokasi ‘hotspot’ yang menjadi tempat burung gagak bersarang dan membiak.

"Empat daripada keseluruhan lokasi itu menjadi tumpuan aduan gagak berulang iaitu di sekitar Seksyen 14, sekitar Kawasan Komersial SS 2, sekitar PJS dan sekitar Kawasan Komersial SS 23," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan itu, katanya, MBPJ akan mengadakan operasi menembak gagak di 26 lokasi sekitar Petaling Jaya hari ini.

Jelas kenyataan itu, kesemua kawasan itu telah mendapat kelulusan daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

"Operasi bermula jam 7.30 pagi hingga 7.30 malam membabitkan seramai 30 penembak bertujuan mengurangkan populasi burung gagak yang menimbulkan kacau ganggu di kawasan pentadbiran MBPJ, sekali gus meningkatkan tahap kebersihan di bandar raya ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut MBPJ, tabiat burung gagak yang menyelongkar tong sampah telah menyebabkan pencemaran dan menimbulkan rungutan kepada orang ramai.

"Operasi ini merupakan inisiatif MBPJ untuk mengurangkan aduan awam dan risiko kesihatan berkaitan aduan kacau ganggu burung gagak di kawasan pentadbiran MBPJ.

"Hal ini bertepatan dengan hasrat MBPJ untuk menyediakan sebuah bandar raya yang selamat dihuni serta kondusif kepada warga penduduknya," katanya.

Sehubungan itu, MBPJ menasihatkan orang ramai sentiasa berwaspada, mengikut nasihat anggota penguat kuasa dan menjaga jarak selamat di kawasan terlibat semasa operasi dijalankan.

"MBPJ berharap penduduk di Petaling Jaya dapat memberikan kerjasama untuk menjaga kebersihan terutama dari aspek pembuangan dan pengurusan sampah bagi mengelakkan populasi burung gagak kembali bertambah," ujar kenyataan itu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!