JPNP musnah kebun sayur haram dalam hutan simpan Cameron Highlands

Anggota penguat kuasa JPNP meruntuhkan para tanaman kekacang dalam kawasan Hutan Simpan Bertam pada operasi pemusnahan bersepadu di Cameron Highlands, kelmarin.
Anggota penguat kuasa JPNP meruntuhkan para tanaman kekacang dalam kawasan Hutan Simpan Bertam pada operasi pemusnahan bersepadu di Cameron Highlands, kelmarin.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memusnahkan 16.98 hektar kebun sayur diusahakan secara haram dipercayai oleh penduduk tempatan dalam kawasan empat hutan simpan di Cameron Highlands.

Ketua Pengarah Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Zahari Ibrahim berkata, kawasan yang ceroboh didapati diusahakan dengan pelbagai jenis sayuran dipercayai menggunakan khidmat pekerja warga asing.

Menurutnya, ketika serbuan dilakukan, pekerja warga asing terbabit dipercayai menghidu pergerakan operasi dan sempat melarikan diri dengan bersembunyi dalam kawasan kebun sayur bersebelahan.

"Operasi pemusnahan bersepadu selama lima hari yang berakhir pada Jumaat disertai 148 anggota penguat kuasa pelbagai agensi melibatkan kawasan Hutan Simpan Sungai Ichat seluas 0.9.hektar, Hutan Simpan Batu Gangan (1.22 hektar), Hutan Simpan Mentigi (5.7 hektar) dan Hutan Simpan Bertam (9.16 hektar).

"Dalam operasi tersebut, 20 binaan termasuk rumah kongsi, pondok, stor baja dan rumah plastik yang didirikan dalam kawasan itu turut dimusnahkan," katanya kepada pemberita ketika dihubungi pada Sabtu.

Zahari berkata, selain menggunakan kaedah menanam atas tanah, pekebun haram itu turut menggunakan teknik para dawai yang dibina di kawasan lereng bukit.

"Operasi kali ini dibahagikan kepada dua kumpulan dan dianggap mencabar apabila terpaksa melalui jalan berbukit selain terletak di lereng bukit.

"Pasukan operasi terpaksa menempuh perjalanan sejauh kira-kira enam kilometer untuk sampai ke kawasan diceroboh dalam Hutan Simpan Bertam," katanya.

Artikel Berkaitan:

Tambah beliau, dalam operasi itu, kira-kira 2,300 pokok hutan turut ditanam dalam kawasan terlibat.

Jelasnya, tindakan tegas terpaksa diambil kerana perbuatan menceroboh hutan simpan menyalahi undang-undang di bawah Seksyen 32 (1) Akta Perhutanan Negara 1984.

"Pejabat Hutan Daerah (PHD) Cameron Highlands telah memasang papan notis pemberitahuan agar pihak terlibat mengosongkan kawasan ceroboh sejak awal Julai lalu.

"Bagaimanapun arahan itu tidak diendahkan apabila mereka meneruskan kegiatan pertanian di kawasan itu," ujarnya.

Zahari berkata, permintaan tinggi terhadap sayuran tanah tinggi Cameron Highlands menjadi faktor utama kegiatan menceroboh hutan simpan di daerah ini terus berlaku walaupun tindakan penguatkuasaan dilakukan secara berterusan.

"Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia (JPSM) dan JPNP akan terus meningkatkan pemantauan di semua kawasan hutan simpan di daerah ini bagi memastikan ia tidak diceroboh pihak tidak bertanggungjawab menggunakan warga asing sebagai pekerja.

"Operasi bersepadu tanah tinggi Cameron Highlands akan terus diadakan untuk memastikan aktiviti menanam sayur secara tidak sah dalam hutan simpan dapat dibendung sepenuhnya," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!