Warga emas paling ramai jadi mangsa penipuan dalam talian

Warga emas menjadi mangsa penipuan dalam talian yang mencatatkan kerugian paling tinggi di seluruh negara sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini. Foto hiasan 123RF (Gambar kecil: Ramli)
Warga emas menjadi mangsa penipuan dalam talian yang mencatatkan kerugian paling tinggi di seluruh negara sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini. Foto hiasan 123RF (Gambar kecil: Ramli)
A
A
A

SHAH ALAM - Warga emas menjadi mangsa penipuan dalam talian yang mencatatkan kerugian paling tinggi di seluruh negara sepanjang tempoh lapan bulan pertama tahun ini.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, perkara itu dikenal pasti menerusi statistik terbaharu direkodkan pihaknya sejak Januari hingga Ogos lalu.

Beliau berkata, rekod menunjukkan kerugian dialami golongan itu melibatkan nilai kerugian mencecah RM255,367,680 atau 27.9 peratus.

"Sepanjang tempoh itu, sebanyak 21,535 kes penipuan dalam talian melibatkan 1,916 mangsa atau 8.9 peratus daripadanya merupakan warga emas.

"Jumlah itu mungkin kecil berbanding kelompok umur lain namun nilai kerugian yang dialami adalah paling tinggi," katanya menerusi kenyataan pada Sabtu.

Katanya, sebanyak RM2.76 bilion nilai kerugian yang direkodkan dialami oleh mangsa penipuan dalam talian sejak 2021 sehingga 2023.

"Statistik menunjukkan daripada jumlah ini, kerugian melibatkan mangsa warga emas adalah sebanyak RM552,512,422.66 atau bersamaan 20 peratus.

"Sebanyak 86,266 individu menjadi mangsa kepada sindiket penipuan dalam talian, daripada jumlah berkenaan, 5,533 mangsa atau 6.4 peratus adalah kalangan individu berumur 61 tahun ke atas," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, angka direkodkan menunjukkan penting maklumat serta info berkaitan jenayah komersial khususnya penipuan dalam talian ini disampaikan kepada golongan warga emas.

"Ahli keluarga dimohon agar menasihati ibu bapa, saudara atau kenalan agar sentiasa berwaspada dan tidak melayan sebarang panggilan mencurigakan mana-mana pihak mendakwa dari agensi kerajaan atau swasta.

"Sentiasa lakukan semakan semula nombor telefon yang mendakwa daripada mana-mana agensi serta elak mendedahkan segala butiran diri kepada pihak yang menelefon," katanya.

Ramli berkata, jenayah komersial hakikatnya boleh dicegah serta dielakkan dengan adanya pengetahuan dan sikap sentiasa berwaspada.

"Dalam soal ini, setiap individu dalam masyarakat perlu memainkan peranan selaku penyebar jenayah komersial.

"Sentiasa menghebahkan berkaitan mesej kesedaran berkaitan jenayah komersial ini agar dapat membentuk komuniti selamat dan terhindar daripada sebarang jenis jenayah penipuan," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!