Pesta Kopi Terengganu himpun penggiat industri kopi seluruh negara

Ahmad Haziq (kiri) menyediakan kopi untuk pengunjung di reruai miliknya di Pameran Kopi Terengganu 2024 yang berlangsung di KTCC selama tiga hari bermula Khamis.
Ahmad Haziq (kiri) menyediakan kopi untuk pengunjung di reruai miliknya di Pameran Kopi Terengganu 2024 yang berlangsung di KTCC selama tiga hari bermula Khamis.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pesta Kopi Terengganu 2024 yang berlangsung di Kuala Terengganu City Centre (KTCC) bermula Khamis hingga Sabtu dijangka menarik lebih 50,000 pengunjung.

Penganjur Acara, Ahmad Haziq Badrol Hisham berkata, penganjuran pameran berskala besar itu disertai 43 syarikat pempamer termasuk penggiat industri berasaskan kopi dari seluruh negara.

Menurutnya, program anjuran Port Coffee Roaster bersama Ghostbird Coffee Roaster itu susulan kejayaan program sama pada tahun lalu.

"Pameran Kopi Terengganu 2024 berlangsung selama tiga hari dengan lebih banyak penambahbaikan dilakukan termasuk tiga pertandingan yang menawarkan hadiah keseluruhan sebanyak RM10,000.

"Kali ini, sambutan lebih hebat kerana jumlah pempamer meningkat lebih sekali ganda malah penyertaan pertandingan juga penuh hanya dalam tempoh seminggu selepas dibuka," katanya ketika ditemui pemberita di sini, malam Khamis.

Jelas Ahmad Haziq, program itu turut mendapat sokongan daripada Kementerian Pelancongan & Seni Budaya (MOTAC) serta Malaysia Speciality Coffee Association (MSCA) dengan jangka nilai jualan bakal direkodkan kira-kira RM800,000 sepanjang tiga hari pameran.

"Pesta kopi ini turut disertai pembekal biji kopi, pembekal mesin dan peralatan kopi serta pembekal bahan minuman yang berprestij di seluruh negara.

"Antara tiga pertandingan yang mendapat sambutan hangat daripada pengunjung ialah pertandingan seni kopi (latte art), pertandingan bancuhan kopi (brewing) dan ujian rasa (cup taster)," ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, peminat kopi boleh menambah ilmu pengetahuan mengenai keistimewaan kopi yang terdapat di seluruh dunia.

"Pengunjung berpeluang untuk melihat sendiri proses penghasilan kopi menggunakan pelbagai mesin yang berteknologi canggih yang digunakan pemilik kafe dan kedai kopi tempatan.

"Lebih istimewa, sesiapa sahaja yang berminat memulakan perniagaan berasaskan kopi juga boleh datang kerana kita turut mengadakan sesi perkongsian usahawan berjaya yang telah menjana pendapatan lumayan dalam industri ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!