Bina rumah PR1MA konsep strata, ikut keperluan, kesesuaian lokasi
LIPIS - Kerajaan negeri bersedia mempertimbangkan untuk melaksanakan pembinaan rumah Projek Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang berkonsepkan strata sekiranya terdapat keperluan bergantung kepada kesesuaian lokasi.
Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pembinaan rumah PR1MA berkonsepkan strata dan bertingkat adalah disebabkan oleh sumber tanah yang sangat terhad.
Menurutnya, jika bersesuaian pembinaan rumah PR1MA Pahang strata akan dilaksanakan di negeri itu.
"Tetapi kalau kita merasakan masih perlu secara landed (pembinaan rumah) kita akan teruskan, bila sampai masa nanti kita akan fikirkan, di mana tempat-tempat yang bersesuaian kita akan buat.
"Ia mengikut kesesuaian lokasi, kalau situ selalu banjir dan sebagainya, kita akan buat bertingkatlah," katanya.
Beliau berkata sedemikian pada sidang akhbar selepas Majlis Penyerahan Kunci Rumah PR1MA Pahang Kuala Lanar Indah Jaya dan Penyerahan Rumah Rakyat Pahang (RRP) Daerah Lipis di Perumahan Makmur Kuala Lanar Indah Jaya di sini, pada Sabtu.
Sebanyak 100 unit rumah PR1MA Pahang dan 25 unit Rumah Rakyat Pahang (RRP) Fasa 4 telah diserahkan kepada penerima dalam majlis tersebut.
Ujarnya, keperluan rumah untuk rakyat di negeri ini sentiasa menjadi keutamaan kerajaan Pahang.
Jelasnya, pembinaan rumah ditawarkan mengikut keperluan dengan mengambil kira kemampuan rakyat dan taraf ekonomi.
"Di Pahang ini, kita buat mengikut keperluan rakyat, kita ada buat rumah RM150,000, kita ada buat rumah RM80,000 sehingga rumah percuma pun kita bagi mengikut keadaan dan kesesuaian.
"Tak mampu RM150,000 pergi yang RM80,000, kalau betul-betul tak mampu kita sediakan Rumah Rakyat Pahang, tapi yang itu kita kena telitilah, kita tidak mahu yang patutnya layak tidak dapat, yang tidak layak dapat," tambah beliau.
Dalam pada itu, beliau meminta pembeli rumah agar dapat mematuhi moratorium yang telah ditetapkan dan tidak menjual kediaman dalam tempoh yang ditetapkan.
"Mereka tidak boleh menjual rumah ini sebelum 10 tahun kerana harga rumah ini hanya RM150,000 sedangkan harga pasaran RM300,000, jadi kita kenakan moratorium.
"Selain itu, mereka yang kurang berkelayakan untuk membeli rumah PR1MA Pahang, mereka boleh tampil ke depan datang ke Lembaga Perumahan," tambahnya lagi.
Jelas Wan Rosdy, Lembaga Perumahan akan melihat dan menilai bantuan yang boleh diberikan kepada mereka yang terlibat.
"Ini kerana biasanya Lembaga Perumahan akan berunding dengan bank, sebab bank hendak 'protect principal' juga, mereka tidak boleh bagi sebarangan," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!