[VIDEO] Nekad teruskan majlis perkahwinan pada hari mengundi

A
A
A

KLUANG - Biarpun tarikh perkahwinan mereka jatuh pada tarikh hari mengundi pada bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota, namun pasangan pengantin nekad meneruskan majlis ijab kabul mereka walaupun terpaksa ke pusat pengundian dengan berbusana pengantin.

Bagi Nurarissa Shazni Kamal dan suaminya, Mohammad Hafizzudin Anaffiah, yang masing-masing berusia 27 tahun, tarikh hari ini (28 September) akan menjadi tarikh istimewa untuk diingati sampai bila-bila.

"Pada mulanya, memang tak sangka lah tarikh perkahwinan kami sama dengan hari dengan tarikh mengundi 28 September ni.

"Setelah berbincang, kami pun sepakat untuk meneruskan perancangan kami untuk terus melangsungkan majlis perkahwinan ini.

"Lagipun, kita teruskan sebab kita tahu mana-mana dewan pun memang akan jadi tempat mengundi, jadi kita teruskan sahaja... memang ada kenangan kat situ," katanya yang bekerja sebagai tukang jahit sambilan.

Nurarissa Shazni dan suaminya, Mohammad Hafizzudin setelah selesai mengundi di pusat pengundian Sekolah Agama Gunung Lambak, petang tadi.
Nurarissa Shazni dan suaminya, Mohammad Hafizzudin setelah selesai mengundi di pusat pengundian Sekolah Agama Gunung Lambak, petang tadi.

Pasangan pengantin berkenaan tiba ke pusat pengundian di Sekolah Agama Gunung Lambak pada jam 3.40 petang.

Bagaimanapun, hanya Nurarissa Shazni yang membuang undi berikan suaminya telah berbuat demikian pada sebelah pagi di pusat pengundian SMK Kampung Tengah.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Mohammad Hafizzudin bersyukur kerana majlis perkahwinannya berjalan lancar, biarpun dalam kesibukan orang ramai membuang undi sempena PRK DUN Mahkota.

Malah katanya yang bertugas sebagai Eksekutif Operasi di sebuah syarikat swasta, kebanyakan tetamu yang hadir ke majlis mereka juga merupakan individu yang baru pulang dari pusat mengundi masing-masing berdasarkan kepada celupan warna di jari telunjuk kiri masing-masing.

"Alhamdulillah... majlis berjalan dengan lancar. Mungkin ada hikmah juga sebab orang semua balik kampung dan boleh datang majlis kita juga, Alhamdulillah," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!