GPMS 5 negeri sepakat serah notis gesa PAT Khas diadakan segera

(Dari kiri) Timbalan Pengerusi GPMS Perak, Muhammad Meffzal Mohd Sazwan; Pengerusi GPMS Pulau Pinang, Mohd Nur Azri Kamarudin; Mohd Hidayat (tengah); Wakil GPMS Perlis, Mohamad Uweis Qarnie Mohamad Shukri dan Pengerusi GPMS Negeri Sembilan, Shahriman Ramly.
(Dari kiri) Timbalan Pengerusi GPMS Perak, Muhammad Meffzal Mohd Sazwan; Pengerusi GPMS Pulau Pinang, Mohd Nur Azri Kamarudin; Mohd Hidayat (tengah); Wakil GPMS Perlis, Mohamad Uweis Qarnie Mohamad Shukri dan Pengerusi GPMS Negeri Sembilan, Shahriman Ramly.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) membabitkan lima negeri bersetuju untuk menandatangani notis bagi menggesa Perhimpunan Agung Tahunan (PAT) Khas diadakan sebagai mematuhi arahan Pendaftar Pertubuhan Belia (ROY).

Pengerusi GPMS Selangor, Mohd Hidayat Mohd Sauffi berkata, keputusan itu diambil bagi mengelakkan sebarang bentuk implikasi terhadap persatuan berkenaan.

"GPMS merupakan antara NGO belia paling tua berada dalam sejarah, aktivisme belia dan pendidikan Malaysia, tidak (sepatutnya) berakhir dengan sebarang bentuk pengharaman serta penggantungan yang tidak sewajarnya.

"Itu penegasan kami kelima-lima negeri ke arah menyatakan penegasan bahawa kami jelas PAT Khas perlu dilaksanakan dalam tempoh 30 hari.

"Sebagaimana ditetapkan dalam perlembagaan, kami menyatakan kesediaan untuk membantu GPMS Kebangsaan bagi tujuan pelaksanaan PAT Khas yang sepatutnya dilaksanakan dalam tempoh berkenaan," katanya ketika sidang media 'Selamatkan GPMS' di Hotel Fairfiled by Marriot di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, beliau memaklumkan, tindakan itu dilaksanakan atas kapasiti negeri terlibat iaitu Selangor, Perak, Pulau Pinang, Negeri Sembilan dan Perlis.

Ujarnya, inisiatif itu juga tidak berpihak kepada mana-mana pihak kerana beliau percaya bahawa kekuatan GPMS Kebangsaan datang dari peringkat negeri dan kekuatan negeri pula diperoleh menerusi cawangan.

Tambah Mohd Hidayat, berdasarkan perlembagaan, notis tersebut perlu dijawab dalam tempoh 14 hari.

Artikel Berkaitan:

"Beliau berkata, kedegilan pihak tertentu dalam gabungan itu hanya akan memberi kesan buruk kepada GPMS. Selamatkan GPMS bukan untuk kami (tapi) untuk akar umbi di bawah,” katanya.

Sementara itu, Mohd Hidayat menegaskan, khabar angin menyatakan beliau menggunakan kapasiti sebagai Setiausaha Sulit Menteri Besar Selangor untuk memberi tekanan kepada badan kerajaan bagi mendesak GPMS melaksanakan pemilihan adalah tidak benar

"Berlaku hebahan menerusi aplikasi WhatsApp yang agak liar pada Khamis lalu, mengatakan bahawa ada campur tangan saya selaku Pengerusi GPMS Selangor kononnya membuat tekanan tertentu kepada badan kerajaan untuk mendesak pemilihan ini atas keperluan peribadi.

"Dengan penuh hormat dan kesedaran, saya menyatakan ia tidak benar sama sekali dan laporan polis akan dibuat bagi menafikan tindakan tersebut serta memastikan penyebar mesej berantai tidak bertanggungjawab itu diheret kemuka pengadilan," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, bekas Presiden GPMS, Jais Abd Karim menyarankan badan itu mengadakan pemilihan ahli majlis tertinggi seperti disarankan ROY, tahun ini.

Menurut beliau, sekiranya gabungan tersebut gagal berbuat demikian, ia boleh memberi implikasi buruk kepada kelangsungan badan bukan kerajaan (NGO) yang bertapak sejak 1948.

Bagaimanapun, Presidennya, Muhd Fazreen Ismadi Fauzi berkata, gabungan itu bersedia untuk mengadakan pemilihan ahli majlis tertinggi pada tahun ini sekiranya ROY menolak permohonan badan itu melaksanakan proses tersebut tahun depan.

Ujarnya, pemilihan ahli majlis tertinggi GPMS adalah tiga tahun sekali seperti mana termaktub di dalam perlembagaan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!